PETALING JAYA: Aksi tidak konsisten yang dipamerkan S. Sivasangari dimanfaatkan sepenuhnya pemain No. 2 dunia, Nour El Sherbini untuk menyingkirkan pemain muda Malaysia itu pada suku akhir Kejohanan Skuasy Antarabangsa El Gouna di Pusat Skuasy El Gouna, Mesir, semalam.
Sivasangari yang berjaya melonjak kedudukan ranking dunianya daripada No. 20 kepada No. 19 dunia bermula 1 Jun tewas mudah 5-11, 5-11, 3-11 dalam masa 25 minit.
Kesilapan mudah yang dilakukan pemain yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat itu dan kegagalannya menyempurnakan pukulan yang baik telah membuka laluan kepada bintang Mesir tersebut untuk menempah slot ke separuh akhir.
El Sherbini ketika ditemu bual selepas perlawanan berkata, Sivasangari merupakan seorang pemain yang berbakat dan persediaan rapi diperlukan lebih-lebih lagi ini adalah kali pertama pertemuan antara mereka.
“Saya bermula agak perlahan, tetapi ia berbeza dengan perlawanan pertama, jadi saya dapat berasakan peningkatan prestasi saya dan setiap pertemuan berbeza.
“Aksi hari ini (semalam) telah membantu saya kembali mendapatkan rentak permainan yang betul,” kata El Sherbini yang dipetik kenyataannya menerusi Squashsite.com.
Pemain yang baru sahaja dinobatkan selaku juara dunia itu memberitahu, Sivasangari seorang pemain berbakat, tetapi keadaan gelanggang kaca yang agak panas dengan rentak permainan perlahan dipamerkan mereka berdua telah memberi kelebihan kepadanya.
Pada separuh akhir, hari ini, El Sherbini akan bertemu rakan senegara, Hania El Hammamy yang mengalahkan wakil New Zealand, Joelle King 11-4, 13-11, 11-2 dalam masa 41 minit.
Dalam satu lagi separuh akhir turut menemukan dua bintang Mesir iaitu pemain No. 1 dunia, Nouran Gohar dan Nour El Tayeb.