Hup Wei harap KOM dibarisi 'individu' terbaik - Utusan Malaysia

Hup Wei harap KOM dibarisi ‘individu’ terbaik

LEE HUP WEI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemilihan jawatankuasa Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang akan diadakan Ahad ini menerusi mesyuarat agung tahunan persatuan itu turut mendapat reaksi bekas jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei.

Pemenang empat kali Sukan SEA itu berharap lantikan jawatankuasa itu akan dibarisi pemimpin yang akan memberi fokus kepada dua perkara iaitu memperkasakan semula program pembangunan atlet remaja dan memberi lebih banyak peluang untuk atlet senior menyertai kejohanan di luar negara.

Katanya, sejak pandemik bermula pada dua tahun lalu, KOM kurang beri perhatian untuk mencungkil bakat atlet-atlet baharu namun memperbanyakkan latihan kejurulatihan, manakala untuk atlet senior pula, mereka memerlukan sekurang-kurangnya 15 kejohanan dalam dan luar negara untuk tempoh setahun.

“Saya harap pengurusan baharu akan mengadakan program pembangunan untuk atlet remaja supaya bebanan untuk mempertahankan pingat emas tidak terletak di bahu atlet senior semata-mata. Paling penting adalah supaya atlet remaja dapat kelayakan menyertai Sukan SEA, jadi atlet senior boleh menumpukan perhatian untuk kejohanan yang lebih besar seperti Sukan Asia, Kejohanan Dunia atau Olimpik.

“Saya juga berharap, KOM akan ada peruntukan untuk menyokong perjalanan atlet senior bertanding di luar negara untuk beri mereka pendedahan sebab rata-ratanya sekarang mengeluarkan dana sendiri atau dibantu Majlis Sukan Negara.

“Seingat saya, sebelum tahun 2019, KOM masih ada peruntukan untuk menghantar atlet ke kejohanan antarabangsa. Jadi saya harap ada pembaharuan untuk atlet-atlet sedia ada menguji bakat mereka dengan pertandingan di luar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Hup Wei, 35, turut meluahkan agar KOM beri tumpuan khas kepada para atlet yang berpotensi untuk pergi jauh dalam acara mereka kerana peluang itu patut digunakan Malaysia melayakkan diri lebih banyak sukan dalam Olimpik yang akan datang.

“Kalau kita lihat, dalam acara lari pecut sudah ramai pelapis yang mampu menggantikan senior mereka dalam Sukan SEA. Saya harap acara lain juga akan ada ramai pelapis baharu, malah jika mereka layak ke Kejohanan Dunia pun kita patut lepaskan, mungkin dia dapat menyumbang untuk negara layak ke Olimpik,” katanya.

Buat masa ini, KOM telah menerima beberapa nama pencalonan yang akan bertanding untuk jawatan Presiden, termasuk Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan penyandangnya, Datuk SM Muthu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya