Nama pada tiket dan kad pengenalan mesti sama

Feri Langkawi: Nama pada tiket dan kad pengenalan mesti sama

PENYEDIA perkhidmatan feri ke Langkawi mula menampal notis yang memerlukan orang ramai menunjukkan kad pengenalan untuk membeli tiket feri di Kuala Kedah, semalam. - UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Bermula 1 Julai ini, kesemua penumpang feri masuk atau keluar Langkawi perlu menunjukkan kad pengenalan atau pasport sebelum dibenarkan memasuki kabin.

Langkah itu sebagai usaha mengekang kegiatan ‘ulat tiket’ atau ejen haram yang mengambil kesempatan menjual semula tiket pada harga lebih mahal yang tidak masuk akal terhadap penumpang yang terdesak.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Baharin Baharom berkata, pihak tidak bertanggungjawab itu biasanya membeli tiket berkenaan lebih awal dalam kuantiti tertentu terutamanya pada musim perayaan dan cuti umum.

“Kami mendapat aduan daripada penumpang yang membeli tiket sehingga RM60 seorang bagi perjalanan sehala, sedangkan harga tiket hanyalah sekitar RM18 dan RM23 sahaja. Situasi ini akan memberi imej negatif kepada perkhidmatan feri dan pelancongan Langkawi yang baru sahaja kembali pulih.

“Oleh itu, operator feri akan menyemak tiket ketika menaiki feri bagi memastikan nama pada tiket adalah sama dengan penumpang selepas ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

EJEN SAH

Beliau berkata, penumpang dinasihatkan untuk membeli tiket daripada ejen sah atau secara dalam talian melalui aplikasi Cuti-Cuti Langkawi bagi mengelak daripada terpaksa membayar pada harga lebih mahal.

Sementara itu, tinjauan di Terminal Feri Penumpang Kuah, di sini mendapati, rata-rata penumpang dan penduduk tempatan bersetuju dengan langkah yang diambil pihak penyedia pengangkutan laut itu.

Seorang penduduk yang sering menggunakan perkhidmatan feri, Mohamad Fitri Azizan, 40, berkata, langkah itu dapat mengekang ‘ulat tiket’ atau ejen haram ini daripada terus mengaut keuntungan atas angin.

“Cuma pihak feri perlu pastikan penumpang tahu mengenai pemeriksaan itu supaya mereka dapat datang ke terminal lebih awal. Pemeriksaan Kastam pun sudah mengambil masa, jika pihak feri hendak memeriksa nama penumpang ia akan mengambil masa tetapi itu adalah lebih baik daripada terpaksa membayar harga tiket yang mahal,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Nur Asyikin Azhari, 24, berkata, abangnya pernah membayar kira-kira RM30 bagi tiket feri yang berharga RM18 pada musim cuti persekolahan Januari lalu.

“Waktu itu ayah saya meninggal dunia, jadi abang yang datang dari Kuala Perlis tiada pilihan dan terpaksa membayar harga tersebut untuk datang ke Langkawi. Kami juga tak terfikir untuk buat laporan mengenai perkara itu kerana sibuk menguruskan pengebumian ayah,” ujarnya.

Sementara itu, Zalila Mohamad Saad, 44, dari Kangar, Perlis berkata, tindakan itu juga dapat memastikan keselamatan penumpang sekiranya berlaku sebarang kemungkinan semasa menaiki feri.

“Kalau ada kemalangan, pihak berkuasa dapat melakukan pengecaman penumpang dengan lebih baik dan pantas melalui langkah yang diambil ini,” katanya.

Harga tiket feri yang dijual bagi laluan Kuala Perlis adalah RM18 bagi dewasa dan RM13 bagi kanak-kanak, manakala bagi laluan Kuala Kedah adalah RM23 (dewasa) dan RM17 (kanak-kanak). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya