PETALING JAYA: Pengendali skuad hoki kebangsaan, Arul Selvaraj tetap berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya di kejohanan Piala Asia 2022 walaupun hanya muncul sebagai naib juara selepas tewas kepada Korea Selatan.
Dalam aksi di Stadium Gelora Bung Karno kelmarin, skuad Speedy Tigers tewas 1-2 kepada Korea Selatan sekali gus terlepas peluang terbaik untuk menamatkan penantian selama 40 tahun untuk muncul juara di kejohanan Piala Asia.
Arul berkata, dia juga percaya para pemainnya dapat mempelajari sesuatu dalam kejohanan berkenaan termasuk bagaimana untuk memenangi sesebuah kejuaraan selepas mempamerkan aksi terbaik di peringkat kumpulan.
“Korea sememangnya berhak untuk menang, serangan balas yang mereka lakukan berjaya menghasilkan gol kemenangan buat pasukan itu selain mereka bermain dengan baik untuk menghalang serangan kita termasuklah pukulan sudut penalti.
“Apa yang kita boleh belajar daripada kekalahan ini adalah bagaimana untuk memenangi kejuaraan. Memenangi perlawanan adalah bagus tetapi macam mana kita mahu memenangi kejuaraan yang menjadi perlawanan terakhir dalam kejohanan.
“Pemain sudah memberikan yang terbaik sepanjang kejohanan ini. Mereka membuat segala persiapan untuk menghadapi setiap perlawanan menerusi video, mengambil nota selain analisis kekuatan dan kelemahan lawan,” katanya.
Selain itu katanya, dia sangat berpuas hati dengan tahap kecergasan pemain walaupun perlu turun beraksi dalam tujuh perlawanan dalam masa 10 hari di kejohanan Piala Asia 2022 di Jakarta, Indonesia itu.
“Walaupun kita berdepan dengan PKP dan sebagainya, pemain tetap mampu mengekalkan prestasi pada tahap terbaik dan terus berjuang sehingga perlawanan ketujuh. Tujuh perlawanan dalam masa 10 hari bukan sesuatu yang mudah.
“Selepas ini, pemain akan diberikan rehat selama sebulan dan selepas itu mereka kembali menjalani latihan bermula dengan fasa fizikal. Kita akan melakukan ujian fizikal dan kita akan rangka program untuk pemain secara individu apa yang mereka perlukan sama ada kepantasan atau kekuatan,” katanya.
Kekalahan di tangan Korea menyaksikan skuad negara mengulangi pencapaian terbaik sebelum ini apabila turut muncul sebagai naib juara pada edisi 2017 apabila tewas 1-2 kepada India di Dhaka, Bangladesh.
Untuk rekod, Malaysia sudah sudah mengesahkan slot ke Piala Dunia 2023 di India yang bermula 13 hingga 29 Januari depan selepas berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik di Piala Asia 2022.
habis