GEORGETOWN: Parti DAP tidak pernah mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti di luar komponen Pakatan Harapan (PH) sebagai persediaan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Sehubungan itu tegas Setiausaha Agungnya, Anthony Loke, perkara seperti kemungkinan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di bawah ‘payung besar’ untuk memastikan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) pada PRU-15 tidak pernah berbangkit.
Dalam masa sama, menurut beliau, tumpuan DAP dan PH ketika ini adalah untuk memperkuatkan dan memperkukuhkan parti sendiri bagi menghadapi PRU15.
“Tidak ada perbincangan dengan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) (dan PN), kerana yang penting adalah untuk kita memperkukuhkan parti kita (DAP dan PH).
“Berkenaan agihan kerusi juga belum tiba masanya untuk kita bincang dengan mana-mana pihak di luar komponen PH,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini iaitu kunjungan pertamanya terhadap Pengerusi DAP Pulau Pinang berkenaan selepas dilantik sebagai Setiausaha Agung DAP Kebangsaan pada Mac lalu.
Turut serta, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim.
Mengulas lanjut Anthony Loke berkata, tumpuan DAP dan PH juga adalah bagi memperkukuhkan dan mempertahankan apa sahaja kekuatan yang dimiliki mereka ketika ini.
DUN
Ia katanya, termasuk kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenangi mereka pada pilihan raya umum (PRU) lalu serta pentadbiran tiga buah negeri di bawah PH iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Jika kita fokus kepada kekuatan kita, DAP dan PH masih ada harapan dan kedudukan kita masih kuat.
“Jangan kita lupa jika kita mahu kejar kerusi-kerusi lain dan tidak menjaga kerusi dan negeri yang kita menang, ia tidak akan menguntungkan kita,” katanya.
Menyentuh mengenai situasi di Pulau Pinang, Anthony Loke berkata, beliau yakin dengan kemampuan Kon Yeow selaku Pengerusi DAP negeri untuk mempertahankan negeri itu pada PRU15.
“DAP Pusat juga akan memberi sokongan penuh kepada DAP Pulau Pinang untuk kita terus mendapat mandat daripada rakyat dan kita percaya DAP Pulau Pinang ada kemampuan untuk mencapai keputusan yang baik pada PRU15,” katanya.
Ditanya berkenaan majoriti kerusi DUN yang diyakini mampu dicapai di Pulau Pinang, Anthony Loke berkata, tumpuan parti itu adalah lebih kepada usaha bagi mengekalkan mandat yang diberikan rakyat kepada DAP dan PH sebelum ini.
“Kekuatan itu pula bukan hanya pada DAP sahaja, kita juga bergantung kepada rakan-rakan komponen PH untuk mencapai majoriti yang selesa di DUN.
“Tetapi di pihak DAP, kita akan berusaha untuk mencapai kemenangan dan mengekalkan semua kerusi yang kita tandingi,” katanya. – UTUSAN