WASHINGTON: Ahli-ahli politik dalam Parti Republikan sepakat menolak gesaan kawalan penggunaan senjata api, malah mencadangkan para guru dibekalkan dengan senjata dan meningkatkan kehadiran polis di sekolah.
Namun, kebanyakan guru di Amerika Syarikat (AS) mengecam hebat cadangan tersebut yang disifatkan tidak akan menyelesaikan masalah sedia ada dan hanya dilihat sebagai ‘faktor pengalihan’ daripada kaedah penyelesaian yang sebenar.
Diketahui, Republikan ‘dibiayai’ oleh pengilang dan pelobi senjata api di AS.
“Sekiranya mereka (Republikan) benar-benar prihatin dengan masalah ini, sepatutnya jalan penyelesaian sudah diambil sejak insiden tembakan di Sekolah Tinggi Columbine yang berlaku 23 tahun lalu,” kata seorang guru matematik di daerah Broward, Florida, Jim Gard.
Katanya, banyak guru berasa ragu-ragu adakah cadangan yang diusulkan oleh Republikan itu akan berjaya.
“Guru sudah dibekalkan dengan senjata api dan kehadiran polis di sekolah juga ditingkatkan sejak insiden Columbine. Namun, tiada satu pun memberi perbezaaan atau menyelesaikan masalah ini,” kata seorang guru di sebuah sekolah tinggi di Houston, Texas, Elizabeth Boyd Graham.
Jelasnya, sekiranya senjata api boleh membuatkan situasi menjadi lebih selamat, maka AS akan menjadi negara paling selamat di dunia dan malangnya situasi itu tidak berlaku, malah disifatkan sebagai negara paling bahaya di dunia.
Idea untuk membekalkan senjata api kepada para guru sudah pun disuarakan selepas beberapa insiden tembakan di sekolah sebelum ini.
Beberapa negeri juga memberi kebenaran kepada guru atau petugas sekolah yang mempunyai lesen untuk membawa senjata api ke sekolah sebagai langkah keselamatan.
Seorang guru di Ohio, Rose Malani Ott berkata, dia berasa amat terkesan dengan kejadian yang berlaku di Uvalde baru-baru ini.
Guru itu memberitahu sekolahnya sering melakukan latihan jika diserang penembak rambang dan cadangan yang diusulkan oleh Republikan secara tidak langsung meningkatkan tanggungjawab para guru.
“Saya berasa amat marah kepada pihak yang tidak tahu apa-apa, tetapi menyalahkan sekolah atas segala yang berlaku.
“Kami berdepan dengan sebarang ancaman termasuk Covid-19 untuk memastikan para pelajar tidak ketinggalan dalam pendidikan.
“Kami letih dengan sokongan yang kurang dari pihak pengurusan, kerajaan dan juga umum,” ujarnya seperti yang dilapor The Guardian.
KAJI SELIDIK
Menerusi satu kaji selidik yang dilakukan pada 2019 terhadap lebih 2,900 guru di seluruh AS oleh penyelidik di Universiti Negeri California, sebanyak 95.3 peratus responden percaya guru tidak sepatutnya membawa senjata api di dalam kelas.
“Saya pergi ke kolej untuk menjadi guru, bukannya pegawai penguatkuasa.
“Pembaharuan dalam pemilikan senjata api merupakan komponen yang amat diperlukan untuk membendung masalah ini daripada berterusan,” kata seorang guru di Michigan, Jourden Armstrong.
Guru wanita itu juga menggesa para pendidik perlu meninggalkan kerjaya mereka sekiranya cadangan itu dikuatkuasakan sebagai undang-undang.
“Saya bersedia untuk tinggalkan kerjaya yang saya sayangi ini daripada melakukan perkara yang tidak sepatutnya.
“Terdapat banyak cadangan lain yang boleh diusulkan kepada kami, namun kenapa perlu membekalkan kami dengan senjata? Tidakkah anda terfikir jika langkah itu memburukkan situasi? Soalnya.
SEKOLAH JADI BAHAYA
Usul Republikan itu turut dikecam hebat oleh Persatuan Pendidikan Kebangsaan, iaitu kesatuan buruh terbesar di AS yang mewakili kira-kira tiga juta ahli.
Presiden persatuan tersebut, Becky Pringle berkata, membawa senjata api ke sekolah hanya akan menjadi kawasan tersebut lebih berbahaya dan tidak dapat melindungi sepenuhnya para pelajar dan warga pendidik daripada insiden tembakan.
“Guru sepatutnya mengajar, bukan menjadi pengawal bersenjata,” tegasnya.
Seorang lagi guru, Paul Miglin di Texas turut menyokong kenyataan Pringle.
Jelasnya, membekalkan para guru dengan senjata tidaka akan menjadikan situasi lebih selamat dan sudah tentu tiada guru yang sanggup menembak mana-mana pelajar dalam situasi kecemasan.