HANOI: Vietnam membuka temasya Sukan SEA Hanoi 2021 dengan penuh gilang gemilang pada satu majlis rasmi di Stadium Nasional My Dinh meskipun pada mulanya sukan dwitahunan itu tertunda setahun berikutan dunia terjejas akibat pandemik Covid-19.
Ia adalah temasya pertama diadakan secara rasmi rantau ini selepas dunia dihimpit dengan pandemik Covid-19 menyebabkan Sukan SEA Hanoi yang sepatutnya dilangsungkan tahun lalu dibawa ke tahun 2022.
Namun, Vietnam mengambil pendekatan terbaik dengan melakukan perancangan teliti untuk meneruskan temasya Sukan SEA pada tahun ini penuh dengan langkah berjaga-jaga bagi memastikan semua jenis sukan diadakan lebih terjamin.
Sukan SEA ke-31 yang bertemakan ‘For a Stronger South East Asia’ itu membuka perasmian itu dengan tarian bunga teratai dan diikuti tarian lukisan kayu rakyat Dong Ho yang mencerminkan kesenian masyarakat tempatan.
Kontinjen Malaysia yang diwakili 31 orang memasuki perarakan dengan langkah bergaya selepas Ketua Kontinjen, Datuk Nur Azmi Ahmad dan diiringi pembawa Jalur Gemilang, Nur Dhabitah Sabri memperagakan busana pendekar melayu dan busana puteri.
Skuad Malaysia hadir ke majlis perasmian dengan langkah positif apabila kini telah mengumpul sembilan emas, tiga perak dan enam gangsa untuk berada di tangga kedua keseluruhan di belakang tuan rumah, 10 emas, tujuh perak dan 10 gangsa manakala Indonesia di tempat ketiga, tiga emas dan empat perak.
Sukan terjun yang menutup tirai pertandingan semalam, berjaya meraih lapan emas, tiga perak dan satu gangsa sekali gus mengekalkan status juara bertahan keseluruhan secara berturut-turut sejak 2005.
Selain daripada sukan terjun, Malaysia setakat ini turut meraih satu emas daripada sukan silat menerusi acara ganda putera yang disumbangkan Mohd. Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga.
Untuk temasya kali ini, kontinjen Malaysia disertai 859 orang yang merangkumi 584 atlet, 217 pegawai dan 58 sekretariat dengan sasaran diletakkan meraih 36 pingat emas dalam 37 acara disertai.
Berdasarkan prestasi semasa selepas kali terakhir di Filipina 2019, 15 jenis sukan dijangka menjadi penyumbang kepada sasaran 36 emas itu dengan terjun dan olahraga dianggap lubuk utama negara.