Pemandu Lamborghini, Ford Ranger masing-masing kena denda RM2,000

Pemandu Lamborghini, Ford Ranger masing-masing kena denda RM2,000

Lamborghini
NOR Razman Abd. Razak didenda RM2,000 kerana menampar pemandu Ford Ranger.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Dua individu yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger dan sebuah Lamborghini sehingga kejadian itu tular di media sosial pada Mac lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Pemandu Ford Ranger iaitu seorang wanita berusia 28 tahun dijatuhkan hukuman denda RM2,000 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan dan akan dikenakan penjara sebulan jika gagal bayar denda itu.

Manakala, seorang pengawal peribadi berusia 44 tahun iaitu penumpang dalam kenderaan Lamborghini  turut didenda RM2,000 kerana menampar muka pemandu wanita berkenaan serta berdepan penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Kedua-dua mereka dijatuhkan hukuman tersebut oleh Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin selepas masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka.

Kemalangan

Mengikut kertas pertuduhan, Lee Jia Min, gagal mengawal Ford Ranger dipandunya sehingga menyebabkan kemalangan didakwa mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


LEE Jia Min

Bagi pengawal keselamatan iaitu Nor Razman Abd. Razak pula didakwa kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Jia Min dengan menampar muka managsa dan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di Kilometer 36.6 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke arah Selatan pada pukul 6.10 petang, 18 Mac lalu.

Ketika ditanya mengapa menampar wanita berkenaan, Nor Razman memberikan alasan tindakannya itu adalah kerana wanita tersebut telah melanggar kenderaan dipandu majikannya sehingga menyebabkan kerosakan.

Sharifah Maleeha kemudian menasihatkan Nor Razman agar tidak memilih perbuatan keganasan sebagai satu jalan penyelesaian sebaliknya menyerah perkara tersebut kepada pihak berwajib mengikut  undang-undang sedia ada.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong manakala Jia Min diwakili peguam, Tan Cheng Yee manakala Nor Razman pula diwakili Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias.

Kedua-dua mereka membayar denda berkenaan sebelum bergegas meninggalkan mahkamah bersama peguam masing-masing.

Dalam kejadian itu, rakaman kemalangan berdurasi 1 minit 14 saat tular di media sosial yang memaparkan sebuah Ford Ranger berwarna putih dipandu secara berbahaya sehingga menyebabkan berlaku kemalangan dengan sebuah Lamborghini berwarna hijau.

Pemandu pacuan empat roda berkenaan dilihat cuba memotong konvoi Lamborghini secara zig zag sebelum berlanggar dengan salah sebuah kereta mewah tersebut ketika cuba memasuki lorong kiri.

Disebabkan pelanggaran itu, konvoi Lamborghini berkenaan tidak berpuas hati lalu menghentikan kenderaan di tengah-tengah lebuh raya dan berlaku perselisihan faham antara mereka.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya