SHAH ALAM: Tarikh keputusan peringkat pembelaan bagi dakwaan pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazri Hasan, terhadap Samirah Muzaffar bersama dua remaja ditunda ke 21 Jun depan.
Keputusan sama ada dibebaskan atau diperintah membela diri akan diketahui selepas Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh baharu tersebut.
Peguam, Rahmat Hazlan yang mewakili tertuduh berkata, makluman mengenai perubahan tarikh tersebut diberitahu mahkamah pada 17 Mei lalu selepas perbicaraan peringkat pendakwaan selesai pada 22 April lalu.
“Mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi keputusan pendakwaan kes pembunuhan Nazri pada 21 Jun nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, Hakim Ab. Karim Ab. Rahman menetapkan tarikh 30 Mei untuk membuat keputusan selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan sejak 7 April lalu.
Nasib Samirah, 47 akan diketahui selepas kes ditutup pada 14 Februari lepas apabila seramai 57 orang saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan termasuk abang dan kakak kepada Nazri, Dr. Abdul Aziz, Dr. Malek Reedzuan dan Che Elainee.
Turut dipanggil adalah Pengarah Jabatan Bomba Kuala Lumpur, Edwin Galan Anak Teruki; Pegawai Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur, Dr. Siew Sheue Feng dan Dr. Prashant Sanberker selepas perbicaraan bermula pada 6 September 2019.
Samirah serta dua remaja lelaki dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan membunuh suaminya dekat sebuah rumah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara pukul 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga 4 pagi keesokan harinya.
Bagaimanapun, seorang pembantu rumah, Eka Wahyu Lestari yang dikaitkan dengan kes tersebut masih bebas.
Prosiding dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asnawi Abu Hanipah, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail dan Nur Sabrina Zubairi sementara Samirah dan dua remaja itu pula diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Rahmat Hazlan. –UTUSAN ONLINE