88.5 peratus doktor pelatih di Pulau Pinang tertekan ketika bertugas

88.5 peratus doktor pelatih di Pulau Pinang tertekan ketika bertugas

MOHIDEEN ABDUL KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan, sebanyak 88.5 peratus doktor pelatih di Pulau Pinang menilai tahap tekanan yang mereka hadapi ketika menjalankan tugas berada pada skala tiga dan lima.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, lebih mengejutkan sekitar 15.4 peratus daripada jumlah itu, menilai tahap tekanan mereka pada skala maksimum iaitu lima.

“Pekerjaan profesional perubatan meletakkan seseorang itu dalam kedudukan unik yang mudah terdedah kepada tekanan kerana mereka berada di bawah tekanan yang berterusan dengan rasa tanggungjawab untuk menjaga nyawa orang lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, seorang doktor pelatih Hospital Pulau Pinang (HPP) dilaporkan maut selepas terjatuh dari kediamannya dalam kejadian 17 April lalu.

Difahamkan, mangsa terjatuh dari tingkap bilik kediaman sewanya di aras 23, sebuah apartment di Jalan Dato Keramat, di sini.

Menurut Mohideen, Kementerian Kesihatan perlu menjalankan kajian di seluruh negara memandangkan kes buli doktor pelatih dan doktor junior tidak seharusnya terbatas kepada doktor di Pulau Pinang sahaja. 

“Ia seharusnya termasuk profesional penjagaan kesihatan lain seperti jururawat kerana mereka juga berada dalam persekitaran kerja dan sistem yang sama.

“Kajian di negara seperti seperti Finland, Norway, Australia, Singapura dan China menunjukkan peningkatan kebimbangan, kemurungan dan pemikiran ingin membunuh diri dalam kalangan pelajar perubatan dan profesional perubatan,” katanya.

Tambahnya, isu berkenaan sangat membimbangkan serta tidak boleh dibiarkan dan siasatan kes bunuh diri doktor pelatih berkenaan harus dibuat secara menyeluruh.

Selain itu katanya, disebabkan isu-isu yang melanda profesion berkenaan, CAP juga menggesa kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas dengan wakil daripada doktor, jururawat dan masyarakat awam untuk menyiasat dakwaan layanan buruk terhadap doktor pelatih, beban kerja dan keadaan kerja mereka.

“Jawatankuasa ini perlu menerbitkan laporan dengan cadangan untuk memperbaiki keadaan kerja mereka dan memulihkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan yang wajar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya