JASIN: Datuk Seri Sulaiman Md. Ali harus kekal memegang jawatan Ketua Menteri sehingga tamat tempoh satu penggal, kata Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Abd. Rahman.
Beliau berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu sepatutnya diberikan peluang penuh untuk mencorak pentadbiran kerajaan negeri kerana beliau dilihat berupaya membangunkan Melaka.
Menurutnya, Sulaiman dapat diterima oleh seluruh masyarakat berbilang kaum kerana keperibadiannya yang mesra rakyat selain disenangi semua pihak.
“UMNO Bahagian Jasin tanpa berbelah bagi menyokong Sulaiman serta ahli jawatankuasa termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri berdiri teguh di belakang beliau.
“Saya merujuk kepada dia untuk terus kekal sebagai Ketua Menteri sehingga tamat penggal. Sulaiman menjadi poster boy hingga Barisan Nasional (BN) mencatat sejarah menang 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya selepas merasmikan penutupan majlis khatam al-Quran di Masjid Al-Muhaimin dekat sini, semalam.
Hasan berkata demikian mengulas mengenai desas-desus yang hangat diperkatakan, berkemungkinan berlaku pertukaran Ketua Menteri tidak lama lagi.
Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad turut menyatakan pendirian mempertahan Sulaiman terus kekal menerajui kerajaan negeri sehingga habis penggal. – UTUSAN