Skuad muda boling tetap mampu tuai pingat Sukan SEA

Skuad muda boling tetap mampu tuai pingat Sukan SEA

sukan sea
Nora Lyana (kiri) antara pemain muda negara yang bakal membawa cabaran pasukan boling di Sukan SEA Hanoi, bulan depan.- FOTO MSN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Biarpun kali pertama bakal membawa cabaran negara di Sukan SEA, namun perkara itu tidak dijadikan bebanan atau tekanan buat Nora Lyana Nastasia Norkamal dan rakan sepasukannya yang lain.

Atlet berusia 25 tahun itu, sebenarnya bukan nama baharu dalam sukan boling kerana sudah banyak mengecapi kejayaan sejak mula aktif dalam sukan tersebut seawal usia 11 tahun.

Nora Lyana atau lebih mesra dengan panggilan Nora bersedia menggalas tugas memburu pingat di Sukan SEA Hanoi yang bakal berlangsung pada pada 12 hingga 23 Mei ini nanti walaupun sebelum ini, tanggungjawab itu diberikan kepada pemain ‘senior’.

“Kami yakin dan percaya dengan bimbingan jurulatih serta program yang dirangka sepanjang tempoh persediaan, ia mampu menyediakan diri kami untuk memberi aksi terbaik di Sukan SEA Hanoi nanti.

“Sudah tentu, kami akan meneruskan legasi dan semangat pemain senior yang tidak pernah mengecewakan negara dalam perebutan pingat di sukan itu. Kami sudah berlatih dengan mereka sekian lama dan banyak yang dapat dipelajari.

“Walaupun kali pertama (beraksi di Sukan SEA), tapi misi utama kami adalah bersaing merebut pingat, cuma acara kali ini berkurang berbanding Sukan SEA di Manila iaitu hanya ada perseorangan, beregu (double) dan berpasukan dengan hanya enam pingat emas ditawarkan untuk kategori lelaki dan wanita,” katanya.

Pada Sukan SEA di Manila, Filipina tiga tahun lalu, Malaysia secara keseluruhan memenangi tujuh pingat dengan dua emas, tiga perak dan dua gangsa.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kongress Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Maradona Chok berkata, keputusan menghantar skuad kedua bukan bermakna mereka tidak mampu menghadirkan pingat tetapi ia sebagai pendedahan dan proses peralihan untuk mereka menimba pengalaman.

“Mereka juga memiliki standard yang tidak jauh beza dengan pemain ‘senior’. Jadi kami masih yakin barisan pemain ini mampu membawa pulang pingat.

“Kesemua pemain yang kita senaraikan untuk ke sukan adalah mereka yang sudah ada pengalaman beraksi di pelbagai kejohanan cumanya, mereka tidak pernah beraksi di Sukan SEA,” jelasnya.

Pasukan lelaki terdiri daripada Muhd. Hafiz Zainuddin, Muhd. Syazirol Shamsudin, Nevern Netaneel Marcellinus, Shahrukh Amin Zulkifli, manakala pasukan wanita pula diwakili Nora, Nur Syazwani Sahar, Gillian Lim Siew Giok dan Nerosha Keligit Thiagarajan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya