Sivasangari mara ke final Terbuka Carol Weymuller - Utusan Malaysia

Sivasangari mara ke final Terbuka Carol Weymuller

SIVASANGARI (kiri) membalas pukulan yang disempurnakan oleh Farida pada separuh akhir kejohanan skuasy Terbuka Carol Weymuller di New York, Amerika Syarikat, semalam. -Squashsite.com
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain skuasy negara, S. Sivasangari mengecapi pencapaian terbesar dalam kariernya setakat ini apabila
menjejakkan kaki ke perlawanan akhir untuk mencatat pertembungan dengan pemain No. 8 dunia dari Mesir, Rowan Elaraby pada Terbuka Carol Weymuller dekat New York, hari ini.

Kejayaan mara ke final pada kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Professional (PSA) itu adalah keputusan terbaik pernah dilakar pemain berusia 23 tahun tersebut sejak dia bergelar pemain kebangsaan.

Semalam, anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu menundukkan pilihan kelima juga dari Mesir, Farida Mohamed dalam perlawanan sengit empat set 11-8, 11-7, 6-11, 12-10.

Kejayaan tersebut bakal menemukan Sivasangari dengan Elaraby yang memegang status sebagai pilihan pertama kejohanan pada perlawanan akhir.

Elaraby, 22, mengetepikan rakan senegaranya yang diletakkan selaku pilihan ketiga, Nadine Shahin dalam satu lagi separuh akhir menerusi kemenangan straight set 11-9, 11-3, 11-7 dalam masa 25 minit.

Ketika ditemu bual selepas perlawanan, Sivasangari yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat melahirkan rasa gembiranya kerana kejayaan melangkah ke final pada pertandingan itu adalah yang terbesar dalam kariernya.

“Saya sangat gembira, ini merupakan perlawanan akhir terbesar buat saya. Pada Februari lalu, saya tewas dalam separuh akhir pada pertandingan yang bernilai AS$50,000 (RM216,270) dan saya sangat gembira berjaya melakukannya kali ini,” kata Sivasangari yang dipetik kenyataannya menerusi laman web Squashsite.com.

Mengulas tentang aksinya menentang Farida pada separuh akhir, jelas Sivasangari, pencabarnya itu bukanlah lawan yang mudah untuk dihadapi.

“Dia seorang pejuang. Hari ini (semalam), perlawanan lebih kepada kekuatan mental dan saya berjaya mengharunginya dengan baik dan menamatkan aksi dalam empat set,” ujarnya.

Tambah, Sivasangari, dia pernah beraksi menentang pemain No. 8 dunia itu beberapa kali dan mereka telah bermain sejak remaja lagi.

“Saya cuma amat berharap dapat mengekalkan rentak permainan dan memberikan yang terbaik,”ujarnya.

Kapsyen
Sivasangari (kiri) membalas pukulan yang disempurnakan oleh Farida pada separuh akhir kejohanan skuasy Terbuka Carol Weymuller di New York, Amerika Syarikat, semalam. – kredit Squashsite.com

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya