PETALING JAYA: Hasrat S. Sivasangari untuk mencipta kejutan pada final Terbuka Carol Weymuller yang berlangsung di New York, semalam tidak kesampaian apabila pemain skuasy negara itu akur dengan kehebatan jaguh No. 8 dunia, Rowan Elaraby yang menepati ramalan merangkul gelaran pada kejohanan tersebut.
Elaraby, 22, yang diletakkan selaku pilihan pertama diberi tentangan sengit oleh anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu sebelum tunduk menerusi kekalahan empat set 7-11, 11-6, 9-11, 6-11 dalam pertembungan yang memakan masa selama 46 minit.
Sivasangari yang menghuni ranking No. 22 dunia dan turun sebagai pilihan keenam beraksi cemerlang sepanjang pertandingan tersebut sehingga mara ke perlawanan akhir yang merupakan kejayaan terbesar pemain itu sejak bergelar pemain profesional.
Malah, walaupun tewas pemain itu turut mendapat pujian daripada lawannya, Elaraby yang menyifatkan Sivasangari merupakan lawan yang sukar.
“Saya telah bekerja keras dalam latihan dan gelaran ini adalah yang terbesar dalam karier saya. Sivasangari memiliki pukulan yang mantap dan sangat sukar menentangnya.
“Saya perlu pastikan dia tidak diberi ruang untuk melancarkan serangan balas,” kata Elaraby kepada laman web Squashsite.com.
Walaupun tumpas kepada lawannya dari Mesir itu, sekalung tahniah kepada pemain berusia 23 tahun tersebut yang mempamerkan peningkatan prestasi sejak bermula tahun 2022.
Pemain perseorangan utama negara itu yang kini menuntut di Universiti Cornell dekat Ithaca, New York bermula dengan langkah kanan tahun ini apabila dia memenangi Kejohanan Skuasy Individu Nasional Peringkat Kolej, Mac lalu.
Prestasi baik dipamerkan Sivasangari tahun ini sedikit sebanyak membantunya melonjak kedudukan ranking ke-29 dunia pada tahun lalu kepada No. 22 dunia dan kejayaan menjejakkan kaki di pentas akhir Terbuka Carol Weymuller turut membuka laluan untuknya menempatkan diri dalam kelompok 20 terbaik dunia.