PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyifatkan Qatar sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 yang akan bermula pada 21 November nanti iaitu berbaki 235 hari lagi sebelum sepak mula.
Hamidin yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengetuai delegasi negara ke Kongres Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ke-72 di Pusat Konvensyen dan Pameran Doha (DECC) Qatar, semalam.
“Sepanjang berada di Qatar, dilihat venue sudah sedia malah kemeriahan menjelang sepak mula 21 November 2022 sudah terasa.
“Persiapan yang diadakan di benua Asia ini dan pertama di Timur Tengah disifatkan sebagai sempurna dan sudah siap setahun awal,” kata Hamidin.
Kongres FIFA ke-72 itu akan diikuti dengan majlis undian Piala Dunia 2022 pada malam ini (1 April) dengan majlis terbabit turut disertai delegasi Malaysia.
“Apa yang paling utama ialah, seluruh keluarga bola sepak dunia hari ini berkumpul buat pertama kali selepas dikekang dengan penularan Covid-19.
“Justeru dengan kejayaan kongres yang kemudian disusuli dengan majlis undian Piala Dunia hari ini, ia adalah perkembangan positif yang terbaik buat sukan bola sepak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Presiden FIFA, Gianni Infantino ketika dalam kongres menyatakan hasratnya bertanding semula pada 2023 selain menekankan beberapa topik utama iaitu dana pembangunan ‘FIFA Forward’ ditingkatkan kepada 25 peratus bagi setiap negara gabungan.
Infantino turut memberikan fokus terhadap aspek pelaburan dalam pembangunan bola sepak dan penyelesaian konflik peperangan negara anggota.
Selain itu, agenda lain kongres termasuklah undian mengenai cadangan untuk meminda statut dan Peraturan Tetap Kongres serta perbincangan cadangan yang dikemukakan dengan sewajarnya oleh ahli gabungan dan ahli majlis.
Piala Dunia Qatar dijangka mencatat kemeriahan apabila dilaporkan lebih 800,000 tiket sudah dijual setakat ini.
Selain itu, Hamidin juga akan turut serta dalam Mesyuarat Majlis ketujuh AFF, yang juga diadakan di Doha, hari ini.