ISKANDAR PUTERI: Ketua jurulatih Kawasaki Frontale, Toru Oniki jelas tidak dapat menyorokkan kegembiraan setelah anak buahnya berjaya merobek gawang Johor Darul Ta’zim (JDT) sebanyak lima kali pada aksi Liga Juara-juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, kelmarin.
Oniki berkata, kemenangan tersebut sedikit sebanyak dapat mengubati kekecewaan keputusan pertemuan sebelum ini apabila pasukannya terpaksa berkongsi mata dengan skuad Harimau Selatan setelah terikat tanpa jaringan.
Jelasnya, pada perlawanan berkenaan, kelab nombor satu Asia itu berjaya mempamerkan aksi terbaik mereka biarpun bergelut pada 10 minit pertama hingga mampu mencapai keputusan yang diinginkan.
“Sasaran kita pada perlawanan ini adalah untuk membawa pulang tiga dan pemain berjaya melaksanakan misi itu bahkan berjaya menghasilkan jaringan yang besar. Ini adalah keputusan yang baik untuk pasukan setelah berada di kedudukan pertama peringkat Kumpulan I.
“Kita dapat lihat pemain kembali mendapat rentak permainan sebenar dan bermain mengikut cara yang kami inginkan. Saya amat berpuas hati pasukan berjaya meledak lima gol pada malam ini setelah seri tanpa jaringan pada pertemuan sebelum ini.
“Apapun, kita tidak boleh terlalu membangga diri kerana bakal berdepan satu lagi perlawanan penting menentang Ulsan Hyundai selepas ini. Jadi, pemain perlu kekal fokus dan menang dua baki perlawanan itu,” katanya pada sidang akhbar semalam.
Kemenangan tersebut membolehkan juara Liga 1 Jepun itu merampas takhta pendahulu Kumpulan I dari tangan JDT selepas mengutip lapan mata menerusi empat perlawanan.
Dalam pada itu, pemain terbaik perlawanan, Yu Kobayashi berpuas hati setelah berupaya membantu pasukan meraih kemenangan dengan menjaringkan dua gol pada babak pertama sekali gus mengangkat status kelab sebagai gergasi Asia yang perlu diberikan tumpuan.
Katanya, kombinasi di bahagian kanan membabitkan bek kanan, Miki Yamane, pemain sayap, Akihiro Ienaga dan dirinya menjadi pemusnah buat JDT yang sukar menyekat kemaraan mereka bagi menghasilkan gol penting perlawanan.
“Kombinasi itu adalah hasil keserasian yang terbina sejak beberapa musim yang lalu, kami saling tahu membaca gerakan masing-masing dan saya tahu bila mereka akan membuat hantaran, saya cuma perlu buat larian ke ruang kosong tersebut,” katanya.