KUANTAN: Keunikan dibuat Mari’s Buffet Cafe di sini dengan menyediakan menu martabak udang mendapat sambutan menggalakan terutama pada bulan Ramadan ini apabila sebanyak 1,500 biji makanan itu terjual pada setiap hari.
Situasi itu berbeza pada hari pertama Ramadan, apabila hanya 300 biji sahaja menu itu terjual selain turut dijual secara sejuk beku bagi memenuhi tempahan pelanggan dari luar negeri ini.
Pengarah Pengurusan Mari’s Buffet Cafe, Jamaliah Ismail berkata, keenakan martabak udang dimakan dengan kuah bawang cuka itu mula mendapat sambutan menggalakan selepas orang ramai telah mencuba menu itu untuk dijadikan juadah berbuka puasa.
Jelasnya, permintaan martabak udang selepas itu meningkat lebih lima kali ganda dan keadaan itu menyebabkan pekerja di Mari’s Buffet Cafe tidak menang tangan membuatnya susulan selepas kelonggaran Fasa Peralihan ke Endemik.
“Setiap hari selepas hari pertama Ramadan, kami mampu jual kira-kira 1,500 biji martabak udang bermula pukul 4 petang hingga 10 malam.
“Kebiasaannya orang ramai menghubungi sehari awal membuat tempahan dan datang kira-kira pukul 4.30 petang mengambilnya selepas waktu bekerja untuk menikmati martabak ini sebagai juadah berbuka puasa.
“Alhamdulillah, martabak kami yang dikenali sebagai ‘Murtabak Udang Mari’s Buffet’ kini menjadi tumpuan terutama pada bulan Ramadan ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jamaliah berkata, bagi memenuhi permintaan pelanggan, setiap hari mereka akan menggunakan 20 kilogram udang segar laut dan lebih 2,000 biji telur untuk dibuat inti martabak dan dimasak pada sebelah malam bagi mengelakkan kekalutan pada keesokan hari.
“Ramuan yang digunakan untuk membuat inti martabak ini juga menggunakan resipi turun temurun keluarga saya dan kami tidak mengubahnya bagi mengekalkan rasa aslinya,” katanya yang turut dibantu 17 pekerja dalam kalangan ahli keluarga sendiri dan saudara-mara.
Katanya, menu itu dibuat kerana mereka tahu ramai yang ‘hantu udang’ dan ia juga mendapat sambutan kerana ada penggemarnya tersendiri makanan laut itu.
“Walaupun harga barangan meningkat terutamanya udang dan bawang besar yang digunakan untuk membuat inti, kami masih menjual martabak dengan harga sama iaitu RM23 sekeping sama seperti sebelum Ramadan supaya tidak membebankan pelanggan.
“Bagi memenuhi tempahan pelanggan, kami turut menggunakan khidmat enam orang penghantar makanan terus kepada pelanggan di sekitar bandar raya Kuantan dengan caj yang dikenakan antara RM3 hingga RM7,” katanya. – UTUSAN