PETALING JAYA: Pengendali skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj mengakui banyak kelemahan perlu diperbaiki dan berharap anak buahnya mampu bangkit melawan pada perlawanan ketiga, hari ini.
Malaysian Tigers yang menduduki ranking ke-11 dunia nyata gagal memberi saingan kepada pasukan nombor satu dunia, Australia selepas tewas 7-0 pada perlawanan ujian antarabangsa kedua di Stadium Hoki Perth, kelmarin.
“Saya amat berharap mereka dapat beraksi dengan lebih tersusun pada perlawanan ketiga nanti selepas mendapat rehat 24 jam.
“Walaupun kami tewas 0-7, terdapat beberapa perkembangan positif yang dipamerkan skuad negara dan Australia yang memperoleh 17 pukulan sudut penalti hanya menjaringkan tiga gol sahaja.
“Muhammad Marhan Mohd Jalil adalah pelari pertama yang berjaya menahan lebih banyak bola dan penjaga gol negara, Muhammad Hafizuddin Othman turut menyelamatkan keadaan.
“Minit terakhir perlawanan, Hafizuddin Othman terpaksa dikeluarkan dan digantikan dengan Adrian Andy Albert yang turut beraksi dengan baik.
“Kekalahan perlawanan kedua ini lebih kepada kekuatan fizikal serta kelajuan minda. Umum mengetahui Australia adalah pasukan memiliki kelajuan minda terpantas di dunia,” katanya.
Pada perlawanan kelmarin, Jack Welch dan Blake Govers masing-masing menjaringkan dua gol manakala Nathan Ephraum, Joshua Simmonds dan Jacob Anderson melengkapkan kemenangan bergaya Australia.
Terdahulu, skuad negara terlebih dahulu tewas 0-3 pada perlawanan pertama.