Malaysia mampu kejutkan Jepun - Hafiz - Utusan Malaysia

Malaysia mampu kejutkan Jepun – Hafiz

BARISAN pemain dan artis yang menjayakan Program Perlawanan Badminton Amal Atlet Malaysia dan Artis Malaysia Untuk Surau Al-Abidin di Gelanggang Badminton Sri Kenangan, Kompleks Perumahan Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas pemain kebangsaan, Muhammad Hafiz Hashim percaya skuad negara mampu mencipta kejutan ke atas Jepun meskipun pasukan itu menjadi pilihan untuk menjuarai saingan peringkat kumpulan D dalam saingan Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand, bulan depan.

Pada kempen Piala Thomas tahun ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun, England dan New Zealand.

“Sudah pasti Jepun adalah cabaran terbesar buat pasukan kita dalam peringkat kumpulan, mereka memiliki pasukan yang seimbang dalam perseorangan dan beregu.

“Namun, berdasarkan prestasi semasa pemain negara yang agak konsisten ketika ini, saya fikir bukan sesuatu yang mustahil untuk kita menang ke atas Jepun dan seterusnya menjuarai saingan peringkat kumpulan,” kata juara All England 2003 itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada perlawanan amal badminton anjuran Surau Al-Abidin Perumahan Kastam WPKL antara bekas pemain kebangsaan dengan artis tanah air, malam tadi.

Hafiz hampir membantu Malaysia muncul juara Piala Thomas pada 2002 di Guangzhou, China namun pasukan negara dikecewakan Indonesia 3-2 di final.

Kali terakhir Malaysia muncul juara Piala Thomas adalah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur selepas menewaskan Indonesia 3-2 dalam aksi final.

 

HAFIZ HASHIM (kanan) bersama Azri Hamzah.

Sementara itu, perlawanan amal yang berlangsung, malam tadi bertujuan bagi mengumpul dana untuk kegunaan Surau Al-Abidin yang ditaja oleh syarikat pembekal alat pernafasan, House of Oxygen (HOO).

Ketua Pegawai Eksekutif HOO, Azri Hamzah, berkata ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya di samping mengambil keberkatan bulan Ramadan.

“Sebenarnya memang setiap tahun HOO terbabit dengan program seumpama ini. Kami memang sentiasa memberikan sokongan terhadap program seperti ini menerusi CSR kami,” kata Azri yang turut memberitahu syarikat berkenaan turut memberikan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada Surau Al-Abidin.

Selain Hafiz, antara bekas pemain kebangsaan yang turut terbabit dalam perlawanan amal itu ialah Roslin Hashim, Mohd Ariff Latif, Mohd Zakry Latif, Razif Latif dan Sairul Amar Ayob manakala antara artis yang hadir Shah Slam, Nomad serta pelakon, Datuk Fizz Fairuz.

Individu atau mana-mana pihak yang ingin menyumbang kepada Surau Al-Abidin boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 562357531617.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya