PETALING JAYA: Selepas mengikat Wales 3-3 pada aksi kedua Kumpulan D Piala Dunia Hoki Remaja Wanita yang berlangsung di Stadium NWU kelmarin, skuad projek wanita negara mahu meningkatkan lagi prestasi mereka menjelang aksi berdepan India, malam ini.
Perkara itu dilaungkan tonggak tengah negara, Kirandeep Kaur Gurdip Singh yang bertekad untuk memberikan persembahan terbaik pada aksi terakhir Kumpulan D menentang India di Potchefstroom, Afrika Selatan.
Bagaimanapun, pemain berusia 18 tahun itu sedar India adalah lawan yang cukup sukar dan telahpun mara ke suku akhir hasil dua kemenangan selepas menewaskan Wales 5-1 dan Jerman 2-1.
“Walaupun India adalah lawan sukar. Namun, kami akan cuba sehabis baik untuk memanfaatkan setiap peluang sama ada menjaringkan gol atau cuba mendapatkan pukulan sudut penalti.
“Memandangkan ini adalah perlawanan terakhir (peringkat kumpulan), kami akan cuba sedaya upaya dan berikan yang terbaik bertemu India nanti,” katanya selepas tamat aksi menentang Wales kelmarin.
Peluang Malaysia untuk mara ke suku akhir boleh dikatakan sudah tertutup kerana Jerman dijangka tidak berdepan halangan untuk merakam kemenangan ke atas Wales dalam satu lagi aksi Kumpulan D hari ini.
Keputusan positif ke atas India amat penting kepada skuad kendalian Nasihin Nubli Ibrahim, bagi menamatkan Kumpulan D di tempat ketiga supaya bertemu pasukan tercorot Kumpulan C pada aksi klasifikasi nanti.
Pujian harus diberikan kepada skuad wanita negara kerana ini adalah kali pertama Malaysia beraksi di pentas Piala Dunia Hoki Remaja walaupun beraksi atas tiket pasukan jemputan sejak kejohanan itu mula diperkenalkan di Ottawa, Kanada pada 1989.