SHAH ALAM: Mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang berkelayakan berpeluang menyambung pengajian di peringkat pascasiswazah di Universiti Glasgow (UofG) selepas kedua-dua institusi itu menandatangani memorandum persefahaman (MOU) hari ini.
MOU yang ditandatangani menerusi Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) selama tiga tahun dengan universiti berkenaan bakal meningkatkan kompetensi global UiTM di peringkat antarabangsa dalam menitikberatkan aspek akademik.
UiTM dalam satu kenyataan memberitahu, UofG merupakan sebuah universiti di Scotland, UK yang bertapak sejak tahun 1451 dengan pencapaian-pencapaian hebat seperti berada di tempat ke-73 dunia dalam penarafan QS World University Rankings 2022.
“Selain menghantar mahasiswa, antara aspek akademik akan dilakukan antara kedua-dua universiti itu adalah penyeliaan bersama pelajar pascasiswazah, juga cadangan pelantikan profesor pelawat, pemeriksa luar dan penceramah.
“Kerjasama ini antara lainnya akan meningkatkan kompetensi global universiti ini di peringkat antarabangsa yang mengarah kepada matlamat untuk mencapai agenda dalam pelan strategik UiTM 2025,” katanya.
Terdahulu, majlis menandatangani MOU antara UiTM dan UofG berlangsung di Glasgow,
Scotland, UK hari ini yang menyaksikan pertukaran dokumen persefahaman diserahkan oleh Penolong Naib Canselor Pengantarabangsaan Profesor Dr. Shahriman Zainal Abidin yang mewakili Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor, kepada Penolong Naib Prinsipal Pengantarabangsaan UofG, Profesor William Cushley dan disaksikan Dekan FSR, Profesor Dr. Mohad Anizu Mohd. Nor dan Profesor Jason Gill.
Tambahnya, UiTM komited menerokai pelbagai ruang dan peluang kerjasama untuk kekal berdaya saing agar lebih cemerlang di peringkat antarabangsa. – UTUSAN