PETALING JAYA: Perseorangan badminton profesional lelaki negara, Soong Joo Ven melakar kejutan dengan mengejutkan pilihan kelima yang juga wakil tuan rumah, Heo Kwanghee sekali gus menempah tempat ke suku akhir Masters Korea, semalam.
Dalam pertarungan itu, Joo Ven memerlukan 40 minit untuk mengatasi perseorangan lelaki No.1 Korea Selatan itu, 21-11 dan 21-19.
Kejayaan itu memberi kegembiraan kepada pemain yang bernaung di bawah Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC) itu dan mengakui berpuas hati dengan corak permainannya ditampilkan dalam perlawanan tersebut.
“Saya beri persembahan cukup bagus untuk menang perlawanan hari ini (semalam) dan esok (hari ini), saya akan cuba buat lebih baik.
“Saya sebenarnya tidak begitu risau dengan status pemain lawan kerana paling penting berikan persembahan terbaik,”ujarnya.
Joo Ven akan berdepan Misha Zilberman dari Israel di suku akhir, hari ini dan pengurus KLRC, Sairul Amar Ayob berkata ini adalah peluang terbaik buat Joob Ven mara ke separuh akhir dan memperbaiki ranking dunianya.
“Permainan dia ada peningkatan dan lebih banyak menyerang kali ini. Kalau tengok lawannya esok (hari ini) dari Israel, bagi saya tiada masalah untuk dia mara ke separuh akhir.
“Ini peluang terbaiknya untuk mara lebih jauh dan memperbaiki kedudukan ranking,” katanya.
Turut mara ke suku akhir ialah gandingan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang menumpaskan Misha-Svetlana Zilberman 21-5, 21-8.
Menanti mereka di suku akhir ialah gandingan Singapura, Terry Jee-Tan Wei Han yang sebelum itu menumpaskan wakil tuan rumah, Kim Yong Hyuk-Kim Hye Jeong 22-20, 23-21.
Bagaimanapun, satu lagi pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Toh Ee Wei tersingkir selepas kalah 18-21, 14-21 kepada Zheng Si Wei-Zhang Shu Xian.
Manakala beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong tewas kepada Hiroki Okamura-Masayuki Onodera (Jepun).
Seorang lagi pemain KLRC, Goh Jin Wei berhempas-pulas sebelum kalah di tangan wakil China, Wang Zhi Yi, 22-20, 7-21, 12-21.