PETALING JAYA: Pelumba empat roda negara, Jazeman Jaafar mencatat keputusan memberangsangkan apabila menghuni kedudukan kelima keseluruhan untuk kategori LMP2 Pro/Am pada perlumbaan Siri Le Mans Eropah di La Castellet, Perancis, kelmarin.
Jazeman yang bernaung di bawah pasukan Team Virage melakukan catatan masa keseluruhan 4 jam 1 minit 48.678 saat (s) untuk menghuni kedudukan tersebut.
Bagaimanapun, bagi kedudukan keseluruhan dalam perlumbaan utama kategori LMP2, Jazeman yang bergandingan dengan dua lagi pelumba iaitu Gabriel Aubry dari Perancis dan pelumba Amerika Syarikat, Rod Hodes melengkapkan aksi mereka di tangga ke-15.
Dalam perlumbaan berintensiti tinggi itu yang memakan masa selama empat jam untuk melengkapkan saingan secara bergilir-gilir menyaksikan Team Virage menyempurnakan aksi pada sejam pertama menerusi catatan masa 1:02:06.267s untuk berada di tangga ketujuh.
Bagaimanapun, untuk sejam kedua dan ketiga, pasukan berasal dari Poland itu hanya mampu menamatkan aksi mereka di tempat ke-16 (2:01:57.911s) serta ke-15 (3:02:15.949s).
Jazeman dalam kenyataannya kepada media di tanah air berkata, dengan mengambil kira perlumbaan tersebut merupakan aksi sulung buat pasukannya, keputusan yang dicatat Team Virage adalah sesuatu yang positif.
“Team Virage merupakan sebuah pasukan baharu yang turut menggunakan jentera baharu, jadi catatan semalam merupakan satu keputusan yang positif untuk aksi sulung kami pada musim ini.
“Saya sendiri berjaya menamatkan saingan di kedudukan kelima untuk kategori Pro/Am yang mana keputusan itu memberi saya motivasi untuk beraksi lebih baik pada pusingan di Imola, Itali pada 15 Mei nanti,” katanya.
Menurut Jazeman, kerjasama baik bersama rakan sepasukan khususnya Aubry yang pernah bergandingan dengannya dalam kejuaraan sama pada 2018 telah banyak membantu mereka mendapatkan pelarasan jentera serta strategi terbaik untuk perlumbaan di Le Castellet.
Jelasnya, untuk bersaing dalam perlumbaan berintensiti tinggi tersebut, strategi perlu diatur sebaiknya terutama bagi menjimatkan bahan api, tayar tidak terjejas dan melakukan hentian pit yang tepat bagi membantu keputusan keseluruhan pasukan.