PETALING JAYA: Pemain perseorangan wanita muda negara, Myisha Mohd Khairul akhirnya menikmati gelaran juara di pentas antarabangsa selepas menjuarai Siri Antarabangsa Belanda di Wateringen kelmarin
Kejayaan tersebut hadir selepas pemain berumur 19 tahun berkenaan berjaya mengatasi rakan senegara, Siti Nurshuhaini Azman 21-19, 18-21 dan 21-19 dalam aksi final yang berlangsung selama 70 minit.
Kejayaan Myisha merangkul Siri Antarabangsa Belanda itu adalah merupakan gelaran pertama pemain ranking ke-328 dunia itu dalam saingan peringkat senior di pentas antarabangsa.
“Dengan kejayaan pertama saya di pentas antarabangsa ini, saya anggap ia sebagai pembakar semangat selain harap dapat mengekalkan momentum untuk kejohanan-kejohanan akan datang.
“Memang saya dan Siti Nurshuhaini sudah banyak kali lawan dan berlatih bersama, jadi kami sudah tahu kekuatan dan kelemahan serta cara permainan masing-masing, sebab itu permainan agak sengit.
“Saya juga sebenarnya tidak sangka dapat menjadi juara dalam kejohanan ini. Bagaimanapun, saya bersyukur dan anggap ia permulaan yang baik dan memberi semangat untuk pergi lebih jauh,” katanya.
Sebelum ini, pencapaian terbaik Myisha adalah membantu skuad wanita negara meraih gangsa Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), Februari lalu.
Kejayaan di Belanda itu boleh dianggap tonik terbaik buat Myisha yang akan bersama skuad negara beraksi dalam saingan Piala Uber di Bangkok, Thailand bermula 8 hingga 15 Mei ini.
Sementara itu, Nurshuhaini pula yang akan menggalas cabaran negara di Sukan SEA Hanoi di Vietnam, bulan depan turut wajar diberikan pujian apabila mempamerkan prestasi konsisten sepanjang kejohanan termasuklah memberikan tentangan sengit kepada Myisha ketika aksi final.
Ini adalah gelaran naib juara kedua buat Nurshuhaini di peringkat senior selepas turut melakar pencapaian sama pada saingan Siri Antarabangsa Terbuka Czech 2021.
Pemain berusia 18 tahun itu antara sandaran skuad negara di Hanoi bagi mempertahankan pingat emas Sukan SEA yang dimenangi S Kisona tiga tahun lalu di Manila, Filipina.
Dalam pada itu, Kerajaan Johor akan memberikan ganjaran RM10,000 kepada atas kejayaannya dan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata beliau dan seluruh warga Johor turut berasa bangga dan gembira atas kejayaan yang diraih atlet kelahiran Johor Bahru itu.
Jelasnya, insentif tersebut merupakan penghargaan kepada atlet berusia 20 tahun itu dalam mengharumkan nama negeri serta negara di peringkat antarabangsa.