PETALING JAYA: Enam gol dihasilkan Kemboja dengan semuannya menerusi serangan balas pastinya memberi gambaran betapa rapuh dan longlai pertahanan Malaysia ketika diasak lawan.
Mahu atau tidak inilah lubuk utama yang perlu segera diatasi Malaysia seandainya tidak mahu dikecewakan Indonesia pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan A, di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok, Thailand, petang ini.
Mengakui permasalahan ini, pengendali skuad futsal kebangsaan, Chiew Chun Yong memberi jaminan anak didiknya akan tampil dengan corak permainan berbeza turun menentang Indonesia.
“Menentang Indonesia adalah perlawanan yang sukar, saya tidak boleh terima kesilapan mudah terutamanya ketika mengawal pergerakan lawan (bertahan), saya percaya pemain akan kembali bersemangat dan lebih baik pada perlawanan akan datang.
“Akan ada perubahan corak permainan esok bagi menandingi corak permainan Indonesia,” katanya.
Mengulas corak permainan anak didiknya pada aksi pertama ketika menang tipis 7-6 ke atas Kemboja, Sabtu lalu, Chun Yong ternyata tidak berpuas hati dengan banyak kerja perlu dilakukan.
“Saya tidak puas hati dengan perlawanan (Kemboja) banyak kawasan perlu diperbaiki namun saya tidak mahu memberi alasan.
“Kebanyakan pemain tidak mengikuti rancangan permainan dengan baik. Seperti yang anda lihat, kesemua enam gol datang daripada serangan balas. Ini bermakna pertahanan kita tidak cukup baik.
“Ini adalah aspek yang perlu kita perbaiki dalam perlawanan seterusnya,” tegasnya.
Malaysia kini berada dikedudukan kedua Kumpulan A, Kejuaraan Futsal AFF 2022 dibelakang juara bertahan Thailand selepas pasukan tuan rumah itu gah membenam Brunei, 13-0 yang turun beraksi sejurus tamat perlawanan Malaysia menang 7-6 ke atas Kemboja.
Malaysia kini berada dikedudukan kedua Kumpulan A, Kejuaraan Futsal AFF 2022 dibelakang juara bertahan Thailand selepas pasukan tuan rumah itu gah membenam Brunei, 13-0 yang turun beraksi sejurus tamat perlawanan Malaysia menentang Kemboja.
Indonesia yang merupakan Juara 2010 dan Naib Juara 2019 akan turun beraksi menentang Brunei hari ini sebelum bertemu Malaysia keesokkan harinya.
Kumpulan B pula menampilkan empat pasukan iaitu Vietnam, Myanmar, Timor-Leste dan Australia dimana tiga pasukan terbaik akan layak ke Piala Asia Futsal 2022 di Kuwait, September depan.