IPOH: Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan nyawa seorang lelaki yang terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah di Taman Meru Fasa 2B di sini, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya, Sharudi Muhamad Halil berkata, mangsa berusia 32 tahun itu dijumpai berhampiran bilik air dalam keadaan lemah.
Katanya, tindakan menyelamatkan lelaki itu segera dilakukan dengan membawa mangsa keluar ke kawasan selamat.
“Pihak bomba menerima maklumat kejadian itu pada pukul 11.04 malam dengan sepasukan anggota diatur gerak ke tempat kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan empat buah rumah teres setingkat di mana terdapat seorang lelaki dikatakan terperangkap di dalam salah sebuah rumah berkenaan.
“Anggota segera membuat pemadaman menggunakan dua aliran hose di bahagian ruang tamu dan bilik nombor dua dan terus mencari mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini
Menurut beliau, mangsa mengalami kecederaan melecur tahap tiga di keseluruhan badan manakala isteri dan anak perempuan pasangan itu yang berusia lima tahun melecur di muka, tangan dan kaki.
Katanya, isteri dan dua anak mangsa termasuk kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun itu telah dibawa keluar oleh orang awam sebelum ketibaan bomba.
“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut. Rumah mangsa dianggarkan musnah 80 peratus manakala tiga buah rumah lagi masing-masing sebanyak 60 peratus dan 5 peratus,” katanya.
Operasi memadam kebakaran itu turut dibantu anggota dari BBP Ipoh dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Menglembu dan Chemor. Operasi tamat pada pukul 2.20 pagi. –UTUSAN ONLINE