SHAH ALAM: Bapa tunggal kepada tiga orang anak didenda RM8,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap pertuduhan menerima rasuah bernilai RM5,000 pada 21 Julai 2015.
Tertuduh, Mohd. Jazid Md. Jani, 52, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rozilah Salleh selepas dituduh menerima suapan sedemikian melalui sekeping cek yang ditunaikan ketika bekerja sebagai Eksekutif Niaga Tani di Pertubuhan Peladang Kawasan Klang.
Suapan tersebut didakwa sebagai dorongan kerana membantu Syarikat Alfa Life Technology Sdn Bhd mendapatkan Kerja-Kerja Pembekalan Baja Cecair Organik Sebanyak 5,000 liter bagi Input Pertanian Pertubuhan Peladang bernilai RM143,100.
Mohd. Jazid didakwa di bawah Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta yang sama iaitu penjara maksimum 10 tahun, denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun, tertuduh ketika rayuan sebelum Rozilah membuat keputusan meminta hukuman diringankan kerana masih menjaga ibunya berusia 80 tahun yang terlantar sakit dan menjaga tiga orang anak masih belajar.
“Saya memohon rayuan untuk meringankan hukuman terhadap saya memandangkan saya menjaga seorang ibu yang berumur 80 tahun terlantar sakit dan seorang bapa tunggal yang kematian isteri pada 28 Februari 2020 akibat penyakit buah pinggang.
“Saya juga mempunyai tiga orang anak, dua sedang belajar di universiti dan seorang lagi berumur tujuh tahun,” katanya.
Tambah Mohd. Jazid lagi, dia kini sudah bertaubat dan insaf serta baru dua bulan memulakan pekerjaan baharu selepas kehilangan pendapatan ketika pandemik pada 2020.
Saya memohon rayuan untuk meringankan hukuman terhadap saya memandangkan saya menjaga seorang ibu yang berumur 80 tahun terlantar sakit dan seorang bapa tunggal yang kematian isteri pada 28 Februari 2020 akibat penyakit buah pinggang.
“Saya letak jawatan pada 2017 dan kerja sendiri dengan membantu kawan dalam sebuah syarikat sebelum pandemik.
“Sekarang baru bekerja dengan syarikat pembekal barangan umrah dan haji sebagai pembantu pejabat. Gaji diterima hampir RM2,000, saya tidak mohon mana-mana bantuan ataupun zakat buat masa ini,” ujarnya.
Oleh demikian, Rozilah kemudian menjatuhkan hukuman denda dan penjara jika gagal membayarnya.
Terdahulu, tertuduh dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(A) dan 25(1) Akta SPRM 2009. –UTUSAN ONLINE