PETALING JAYA: Seramai 59 atlet negeri Johor menerima insentif RM59,000 selain imbuhan kewangan menanti mereka yang membawa pulang pingat pada Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, insentif ini membabitkan 59 atlet yang bakal bertanding dalam 22 acara.
Tambahnya, kerajaan negeri juga bersetuju untuk memberikan insentif kemenangan bagi atlet yang membawa pulang pingat.
“Bagi atlet yang memenangi pingat emas akan mendapat RM4,000; Perak (RM2,000) dan Gangsa (RM1,500),” katanya Majlis Iftar & Penyampaian Insentif Atlet Johor ke Sukan SEA Vietnam 2021 yang diadakan di Espira Kinrara, Puchong semalam.
Mohd Hairi berkata, bilangan penyertaan atlet negeri Johor ke temasya Sukan SEA kali ini meningkat sebanyak 51.28 peratus iaitu seramai 20 orang (59 atlet) berbanding 39 orang pada temasya Sukan SEA Filipina 2019.
“Daripada tersebut, seramai 32 atlet berusia bawah 23 tahun dan masih boleh mewakili Johor pada Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022 yang jumlahnya berlangsung pada 29 September hingga 8 Oktober 2022,” katanya.
Tambahnya lagi, peserta Johor pada Sukan SEA ke-31 ni melibatkan 22 jenis sukan iaitu akuatik renang, angkat berat, badminton, berbasikal, bola keranjang, bola tampar, bola sepak, dancesports, e-Sukan, judo, karate, kurash, kickboxing, menembak, olahraga, petanque, pingpong, lawan pedang, memanah, sepak takraw, wusyu dan xiang qi.
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Datuk On Jabbar @Jaafar dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor, Nor Syazlan Abd Razak. – UTUSAN ONLINE