PETALING JAYA : Prestasi luar biasa yang dipamerkan penyerang veteran, Amri Yahyah, dengan meledak hatrik ketika membenam Kedah Darul Aman(KDA) FC,4-0 di Stadium Likas mendapat pujian daripada pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.
Beliau percaya rekod yang dilakar Amri selaku pemain paling berusia meledak hatrik di Liga Malaysia, tidak akan dipecahkan oleh mana-mana pemain lain pada masa akan datang.
Tambahnya, Amri perlu dijadikan ikutan oleh semua pemain Sabah terutama generasi muda kerana masih mampu mengekalkan prestasi cemerlang walaupun sudah menginjak ke usia 40-an.
” Amri kita tahu pemain yang cukup berpengalaman dan bermain agak baik walaupun telah berusia 41 tahun. Saya percaya rekod jaringan hatrik beliau sebagai pemain paling berusia dalam saingan Liga Malaysia akan bertahan lama dan tidak akan ada mana-mana pemain mampu lakukan seperti Amri.
” Ini membuktikan kemampuan Amri serta beri keyakinan untuk dirinya malah beliau harus menjadi contoh pemain-pemain muda Sabah untuk bermain seperti beliau,” katanya.
Amri menjaringkan tiga gol yang cukup menarik di separuh masa kedua pada minit ke- 51,61 dan 72 manakala satu lagi gol menerusi sepakan percuma yang diambil, Park Tae-su pada m-56.
Jaringan-jaringan tersebut menarik perhatian peminat bola sepak tempatan di sebalik kejayaan The Rhinos kembali merampas kedudukan kedua Liga Super daripada Kedah.
Kim Swee dalam masa sama memuji keseluruhan persembahan yang dipamerkan pemain-pemain kerana dapat memainkan peranan masing-masing di atas padang.
Satu lagi perlawanan yang berlangsung pada Ahad menyaksikan Negeri Sembilan FC terus konsisten mempertahankan rekod tanpa kalah selepas lima perlawanan apabila menewaskan Kuala Lumpur City 2-1.