PETALING JAYA: Pelari menara profesional negara Soh Wai Ching meraih kejuaraan ke-17 berturut-turut Big Climb Seattle di Amerika Syarikat dengan memecahkan rekod, semalam.
Lebih menakjubkan, atlet berusia 27 tahun itu melakar kemenangan kedua dalam tempoh 24 jam selepas terlebih dahulu menjuarai kejohanan Big Climb Dallas, sebelum menempuh penerbangan lebih empat jam di antara dua bandar raya itu.
Wai Ching, yang menghuni ranking kedua dunia, menamatkan larian sebanyak 1,311 anak tangga dan 69 tingkat bangunan Columbia Center dengan masa tepat tujuh minit sekali gus mengatasi rekod lapangan 7:07 milik pelari Kanada, Shaun Stephens-Whale pada 2015.
Pelari tempatan Jeff Devlin berakhir di tangga kedua dengan masa 8:05 manakala pemenang 2019, Tristan Roth yang juga warga Seattle melengkapkan podium di tangga ketiga dengan masa 8:16.
“Misi kemenangan berturut-turut berjaya dilaksanakan dengan dua pingat emas. Pagi ini menyertai Big Climb Seattle di Columbia Center, Seattle.
“Menyasarkan untuk mengatasi rekod lapangan pagi ini (7:07). Bermula dengan terlalu pantas. Mencatat 3:05 minit bagi separuh perlumbaan tapi saya kerap memperlahankan larian selepas itu dan lega kerana berusaha gigih menuju ke 10 tingkat terakhir.
“Melepasi garisan penamat dengan catatan 6:58 di jam saya tapi 7:00 tepat di catatan masa rasmi. Satu alasan bagi saya untuk kembali ke Seattle dan mencatat masa di bawah 7 minit pada masa depan. Bangga dengan dua kemenangan hujung minggu ini dan dua rekod lapangan,” katanya.
Wai Ching, yang mengharumkan nama negara apabila menjuarai pertandingan berprestij Empire State Building Run-Up (ESBRU) tahun lalu, kini memegang rekod tanpa kalah dalam 17 perlumbaan berturut-turut sejak Disember 2019.
Wai Ching kini berhasrat melebarkan kemenangan berturut-turutnya kepada 19 apabila dia menyertai pertandingan Big Climb Houston di Three Allen Center Sabtu ini dan Fight For Air Climb San Francisco di 555 California Street (9 April).