LONDON: Pengurus Chelsea,Thomas Tuchel tersenarai dalam lima nama calon untuk mengambil alih jawatan pengurus Manchester United pada penghujung musim ini.
Selain Tuchel, bos Sevilla, Julen Lopetegui dan jurulatih Sepanyol, Luis Enrique juga turut menyertai nama-nama yang disebut United sebelum ini iaitu Mauricio Pochettino dan Erik ten Hag.
Ketika ini, pengurusan United dilaporkan mahu mengecilkan pencarian calon pengurus baharu mereka secepat mungkin selepas proses pencarian memasuki fasa lanjutan.
Nama Tuchel tersenarai untuk menjadi pengurus baharu United di tengah-tengah kekacauan yang berterusan di Stamford Bridge ketika ini.
Sebelum ini terdapat laporan bahawa United sedang memantau situasi Tuchel dan menyedari potensi ketersediaannya di tengah-tengah huru-hara yang berterusan di Chelsea.
Jurulatih Jerman berusia 48 tahun itu dilaporkan berkata, dia akan kekal bertanggungjawab sehingga sekurang-kurangnya akhir musim, tetapi masa depan jangka panjangnya di Stamford Bridge mungkin bergantung kepada siapa yang menggantikan Roman Abramovich sebagai pemilik.
Pengurus sementara United, Ralf Rangnick dijangka mengambil bahagian dalam peranan perunding di kelab itu pada Jun depan dan boleh menggunakan hubungan rapatnya dengan Tuchel untuk menggoda bekas jurulatih Paris Saint-Germain dan Borussia Dortmund itu ke Old Trafford.
Untuk rekod, Lopetegui dan Enrique telah dikaitkan dengan tugas di United sejak pemecatan Ole Gunnar Solskjaer pada November namun, sehingga kini masih tidak menjadi kenyataan.
Lopetegui sebelum ini berada di England untuk perlawanan Liga Europa antara Sevilla menentang West Ham, manakala ketersediaan Enrique diragui kerana dia mahu membawa Sepanyol ke Piala Dunia di Qatar pada akhir tahun ini.-AGENSI