TMJ 'hadiah' Harimau Malaya rumput Zeon Zoysia - Utusan Malaysia

TMJ ‘hadiah’ Harimau Malaya rumput Zeon Zoysia

TUNKU ISMAIL SULTAN IBRAHIM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersedia mengeluarkan pembelanjaan menaja kos penanaman rumput baharu di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu memberitahu rumput jenis Zeon Zoysia itu sebagai hadiah kepada gelanggang rasmi pasukan kebangsaan, Harimau Malaya.

Perkembangan itu dimaklumkan TMJ dalam kenyataan di Facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers dengan jenis rumput berkenaan sama dengan yang digunakan di stadium milik Harimau Selatan, Stadium Sultan Ibrahim.

“Saya telah mengarahkan pengurusan JDT untuk membantu Perbadanan Stadium Malaysia bagi memastikan Stadium Nasional mempunyai padang yang kualitinya layak untuk perlawanan bola sepak antarabangsa.

“Bagaimanapun, saya ingin meminta pihak berkuasa stadium untuk memastikan padang itu dijaga dengan rapi dan semua penggunaan bukan sukan hanya dilakukan jikalau langkah-langkah yang sesuai dilakukan bagi memastikan padang berkenaan tidak rosak,” ujarnya.

Tunku Mahkota Johor (TMJ),  juga telah menandatangani cek untuk memastikan kerja naik taraf untuk dilakukan secepat mungkin.

“Tunku Ismail sudah menandatangani cek untuk padang baharu Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Pemeriksaan di Stadium Nasional akan dilakukan pada 19 Mac 2022 sebelum meneruskan persiapan terakhir dengan Perbadanan Stadium Malaysia.

“Syarikat padang dan krew penyelenggaraan padang Stadium Sultan Ibrahim sudah bersedia untuk memulakan kerja.”

Walaupun tidak menyatakan berapa kos sebenar, TMJ sebelum ini dilaporkan berkata beliau membelanjakan kira-kira RM1.4 juta untuk padang di Stadium Sultan Ibrahim.

Stadium Nasional akan digunakan sebagai gelanggang rasmi bagi aksi kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun depan selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memilih Malaysia sebagai salah satu daripada enam negara tuan rumah untuk kejohanan itu.

Selain daripada Malaysia, AFC turut menyenaraikan India, Kuwait, Kyrgyzstan, Mongolia dan Uzbekistan sebagai tuan rumah bagi kelayakan bagi menentukan pasukan yang akan mara ke pusingan akhir yang akan diadakan di China.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya