SEPANG: Tindakan menipu keputusan kit saringan pantas (RTK) antigen bagi mendapatkan ‘cuti percuma’ dilihat sebagai satu perbuatan tidak bertanggungjawab.
Itu jelas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berhubung tindakan segelintir pekerja yang sanggup menipu ujian kendiri Covid-19 semasa-mata mahu ponteng kerja.
Khairy berkata, tindakan itu boleh membantutkan matlamat kerajaan untuk beralih kepada fasa peralihan bermula 1 April ini.
Beliau berkata, apabila negara memasuki fasa peralihan kelak, semua rakyat akan banyak bergantung kepada solidariti komuniti dan tanggungjawab individu.
“Ini memerlukan kepercayaan semua pihak, takkan semua benda kerajaan kena periksa dan kuat kuasa, denda atau kompaun.
“Mungkin jika nasib tidak baik, majikan mahu mereka lakukan ujian secara profesional dan di situ mereka akan kantoi. Jangan pula sampai kita (Kementerian Kesihatan) ambil tindakan kerana salah lapor dalam MySejahtera,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan MyChampion peringkat kebangsaan, di sini hari ini.
Justeru, beliau merayu kepada rakyat Malaysia supaya lebih bertanggungjawab dan jujur kepada diri sendiri dan orang lain dalam membuat ujian kendiri.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Dr Shawaludin Husin mendedahkan wujud aktiviti menipu keputusan RTK antigen semata-mata mahu ponteng kerja.
Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, pemberian kontak secara terus aplikasi MySejahtera kepada MySJ Sdn. Bhd. dibuat kerana ia kesinambungan kepada kontrak sedia ada.
Menurutnya, ia lebih kepada kesinambungan kontrak kerana mereka (MySJ Sdn. Bhd) yang membangunkan aplikasi itu daripada awal.
“Mereka ingin memberi perkhidmatan software dan kita cuma sambung perkhidmatan mereka untuk tempoh masa yang akan dimuktamadkan nanti.
“Buat masa ini, MySejahtera adalah dimiliki oleh KKM termasuk segala data yang berada dalam aplikasi itu,” katanya.
Justeru, katanya, tiada isu keselamatan data kerana ia dikendalikan oleh KKM dan data itu tidak boleh digunakan untuk matlamat lain selain memantau pandemik Covid-19.
“Ada pihak yang mahu guna data MySejahtera untuk tujuan komersial tapi saya tidak benarkan,” katanya. – UTUSAN
habis.
Caption:
KHAIRY Jamaluddin bercakap dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran MyCHAMPION di Sepang, Selangor. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA