KUALA TERENGGANU: Pasukan Hoki Terengganu (THT) merakam kemenangan dramatik 5-4 ke atas Maybank dalam aksi Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini, semalam.
Beraksi di laman sendiri, THT dikejutkan pelawat apabila Muhammad Razie Abd. Rahim membuka tirai jaringan pada minit ke-13 sebelum menggandakan jaringan pada minit ke-18.
Penyerang berbisa, Faizal Saari kemudian merapatkan jurang pada minit ke-26 hasil pukulan sudut penalti untuk merapatkan kedudukan 1-2 ke bilik persalinan.
Aksi semakin rancak apabila Muhammad Razie menjaringkan hatrik minit ke-38, namun kelebihan itu gagal dipertahankan setelah THT bangkit mengikat kedudukan 3-3 sehingga tamat suku ketiga menerusi pukulan sudut penalti Faizal (m-43) dan Arif Syafie Ishak (m-45).
Penonton terus disajikan aksi jaringan menerusi Amirullah Zainol pada minit ke-46 diikuti Faizal (m-52)
Arif Syafie melengkapkan kebangkitan THT setelah menyudahkan penalti ‘stroke’ empat minit sebelum tamat sekali gus memberikan tiga mata buat pasukannya.