KUALA TERENGGANU: Pasukan Hoki Terengganu (THT) tidak berdepan masalah mengatasi UiTM 4-1 dalam aksi Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini, sebentar tadi.
Beraksi di laman sendiri, Faizal Saari membuka tirai jaringan selepas menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-9 sebelum menggandakan kedudukan pada minit ke-14.
UITM yang ketinggalan 0-2 meningkatkan tempo permainan dan hampir mengurangkan defisit, namun percubaan Faridzul Afiq Mohd. pada minit ke-15 gagal menewaskan Hafizuddin Othman.
Bersambung di babak kedua, tuan rumah terus selesa apabila Faizal melengkapkan hatrik hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-50 diikuti jaringan daripada Ismail Abu, tiga minit kemudian.
UiTM bagaimanapun berjaya membolosi pintu gol THT melalui jaringan padang Danial Asyraf Abdul Ghani dua minit sebelum tamat, namun sudah terlewat untuk mengelak daripada ditimpa kekalahan.