MANCHESTER: Antonio Conte menyifatkan Cristiano Ronaldo sebagai satu-satunya perkara yang memisahkan Manchester United dengan keputusan buruk apabila hatriknya membantu Red Devils merakam kemenangan 3-2 ke atas Tottenham di Old Trafford, semalam.
Pengurus Spurs itu memuji Ronaldo sambil berkata status legendanya dalam bola sepak dunia tidak perlu dipertikaikan lagi.
“Kita bercakap tentang seorang pemain yang bukan setakat malam ini (semalam) sahaja telah membuktikannya sebagai pemain terbaik.
“Jangan lupa Ronaldo dan Lionel Messi merupakan dua pemain terbaik di dunia pada era ini. Sebelum itu Diego Maradona dan Pele.
“Kami sedar apabila menentang pemain seperti ini, mereka boleh menjadi penentu. Saya fikir secara jujurnya kalau bukan kerana Ronaldo, ia bukanlah malam yang baik buat United,” katanya.
Pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or itu hanya menjaringkan satu gol dalam 10 perlawanannya sebelum ini, tetapi tiga jaringan itu meletakkannya di tangga teratas senarai penjaring terbanyak dalam sejarah bola sepak profesional lelaki FIFA dengan 807 gol untuk kelab dan negaranya Portugal.
Sementara itu, pengendali United, Ralf Rangnick mengakui sukar untuk menguruskan Ronaldo selepas pemain 37 tahun itu kembali menunjukkan prestasi sebenarnya.
Dia terlepas aksi ketika United dibelasah 4-1 oleh Manchester City hujung minggu lalu dan dikecam selepas dia terbang ke Portugal susulan kecederaan pinggul dan dikatakan tidak akan diturunkan oleh Rangnick untuk perlawanan di Etihad itu.
“Ia mencabar dengan pemain sepertinya tetapi dia menunjukkan yang dia masih mempunyai kualiti untuk bermain dengan United.
“Hari ini (semalam) adalah persembahan terbaiknya, sekurang-kurangnya sejak saya sampai.
“Bukan hanya kerana dia menjaringkan tiga gol, tetapi dia juga cukup bertenaga dan membantu pasukan ketika bertahan. Persembahan terbaik daripadanya dan seluruh pasukan,” ujarnya.
Kemenangan itu melonjak kembali United ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris, tetapi hanya dua mata di depan Arsenal yang bermain kurang empat perlawanan. – AGENSI