Suri rumah didakwa tipu urusan sewa rumah  - Utusan Malaysia

Suri rumah didakwa tipu urusan sewa rumah 

R. SHALINI didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas lima pertuduhan menipu urusan sewa rumah di sekitar Seremban membabitkan kerugian berjumlah RM11, 436 bulan lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lima pertuduhan menipu urusan sewa rumah di sekitar Seremban membabitkan kerugian berjumlah RM11,436 pada bulan lalu.

Tertuduh, R. Shalini, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di dua kamar mahkamah berasingan di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin dan Mohd. Firdaus Salleh.

Shalini didakwa atas empat pertuduhan memperdayakan tiga wanita dan seorang lelaki dengan mendorong semua mereka membuat bayaran dalam urusan sewa rumah dengan memasukkan wang tunai keseluruhan berjumlah RM9,488 ke dalam akaun seorang individu. 

Kesalahan itu dilakukan di dua buah bank berasingan, Taman Paroi Jaya dan Ladang Kombok Rantau di Seremban antara 19 hingga 25 Februari 2022.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Selain itu, tertuduh turut didakwa atas satu pertuduhan iaitu dengan curangnya telah menipu seorang lelaki dengan memperdayanya untuk mempercayai tertuduh telah membuat pembayaran sebanyak RM1,948 ke dalam akaun seorang individu untuk urusan sewa rumah. 

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Intan 5, Taman Bukit Sentosa, Seremban pada 17 Februari 2022.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta dikenakan denda.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dalam rayuannya memohon jaminan paling rendah kerana merupakan seorang suri rumah dan mempunyai tiga orang anak yang masih kecil.

Tertuduh akan dijamin oleh suaminya yang merupakan seorang pemandu lori dengan pendapatan hanya RM2,000 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,500 dengan seorang penjamin bagi kelima-lima pertuduhan tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd. Azman dan Hafizah Zainul Hashimi.

Kes akan disebut semula secara serentak pada 23 Mac depan. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya