Semangat pemain dahulu dan sekarang jauh beza - Utusan Malaysia

Semangat pemain dahulu dan sekarang jauh beza

BARISAN Pemain skuad kebangsaan mula selesa menjalani latihan bersama jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan Gon.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Panggilan untuk menyertai skuad negara tidak sepatutnya dilepaskan oleh mana-mana pemain kerana ia merupakan satu penghargaan dan amanah besar untuk mengharumkan nama Malaysia.

Tersenarai dalam skuad negara juga merupakan penghormatan terbaik, tidak kira buat pemain yang sudah banyak kali mewakili Harimau Malaya atau pun pemain yang baru pertama kali menerima panggilan.

“Pemain sekarang dan dahulu banyak beza, kami sangat bersemangat apabila persatuan datang dan bagitahu bahawa nama tersenarai dan dipanggil untuk wakili Malaysia dalam apa jua perlawanan.

“Dahulu mana ada telefon nak hubungi kata kita (pemain) dapat mewakili Malaysia, semuanya tunggu persatuan. Apabila persatuan maklumkan, saya melompat-lompat gembira,” kata legenda bola sepak negara, Datuk Hassan Sani.

Menurut Hassan, apabila mana-mana pemain terlibat secara profesional dalam arena bola sepak, mereka sewajarnya memasang impian untuk mewakili negara sebanyak mungkin sehingga karier sebagai pemain berakhir.

“Dahulu, impian paling tinggi pemain bola sepak ialah untuk menyarung jersi Malaysia. Sebab itu saya kata, kalau dapat panggilan kami para pemain bersemangat hingga tidak boleh tidur.

“Sekarang, mungkin berlainan sedikit reaksi untuk sahut panggilan wakili negara. Saya tengok ada yang tolak atas alasan tertentu…kalau injured (cedera) kita fahamlah. itu lain” kata bekas penyerang Sabah dan Malaysia itu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan segelintir pemain yang menolak panggilan untuk mewakili negara malah, tidak bersedia walaupun nama sudah tersenarai dalam senarai menunggu.

Terbaharu, pemain pertahanan Sabah, Rizal Ghazali dilaporkan menolak pelawaan jurulatih, Kim Pan Gon menyertai latihan pusat skuad Harimau Malaya tanpa memberikan alasan lanjut mengenai penolakan itu.

Susulan itu, Rizal berisiko berisiko dikenakan hukuman berat daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) jika terus menolak panggilan menyertai skuad kebangsaan.

Kes berkenaan, bagaimanapun hanya boleh dipanjangkan ke Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas tarikh rehat antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bermula 21 Mac ini.

Semalam, Pengurusan Sabah FC tampil menjelaskan kedudukan sebenar pemain pertahanannya itu dan memaklumkan Rizal mempunyai hal peribadi membabitkan keluarga dan memerlukan dia balik ke kampung halaman di Kedah.

Dalam masa sama, pengurusan Sabah juga akan menasihatkan pemain itu supaya memberi penjelasan terperinci kepada FAM mengenai keputusannya menolak pelawaan Pan Gon itu.

Sebelum itu, Johor Darul Ta’zim FC (JDT), Syahmi Safari memohon pengecualian susulan isterinya telah melahirkan bayi kembar tiga dan tempat bekas pemain Selangor itu digantikan dengan pemain pertahanan Negeri Sembilan FC, Ahmad Khuzaimi Piee.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya