ALOR SETAR: Jurulatih Kuala Lumpur City (KL City), Bojan Hodak mengakui benteng pertahanan pasukan bimbangannya lemah dalam dua perlawanan terawal Liga Super musim 2022.
Beliau berkata, situasi tersebut cukup jelas menampakkan kelemahan ketara di bahagian pertahanan KL City yang sudah membenarkan gol mereka dibolosi sebanyak enam kali dalam dua perlawanan sebelum ini.
Begitu pun katanya, sebagai bekas pemain di bahagian pertahanan, beliau yakin masalah itu dapat diatasi.
“Dalam perlawanan menentang Kedah ini, anda dapat lihat bagaimana kami melaksanakan perangkap ofsaid yang tidak sepatutnya sehingga membolehkan pasukan lawan mendapat gol kedua.
“Begitu juga dengan gol ketiga, di mana kami berikan bola kepada pasukan lawan hingga pemain mereka dapat bersendirian menjaringkan gol dari kedudukan cuma enam meter.
“Ini tidak boleh berlaku dan jelas sekali, itu adalah pertahanan yang buruk. Namun saya yakin isu ini dapat diatasi dan ini masanya untuk saya dapatkan ‘rotan buluh’ bagi membawa mereka berlatih,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pasukannya tewas 3-2 kepada KDA FC di Stadium Darul Aman semalam.
Sebelum ini iaitu dalam aksi pembuka tirai Liga Super pada Jumaat lalu, KL City terikat 3-3 menerusi pertemuan sengit bersama Selangor FC.
Dalam nada berseloroh pengendali dari Croatia itu berkata, pelaburan sebanyak RM20 oleh peminat bola sepak bagi menonton aksi KL City di stadium pastinya berbaloi kerana setiap perlawanan dilalui akan menghasilkan banyak gol termasuk yang membolosi gawang mereka.
“Itu dari sudut penyokong, tetapi dari sudut seorang jurulatih, sudah tentu saya kecewa kerana pasukan ini sudah melepaskan enam gol dalam dua perlawanan awal.
“Semua itu sukar diterima kerana pada tahun lalu, barisan pertahanan merupakan bahagian kami yang terkuat. Jika anda lihat pada pusingan kedua Liga Super dan sepanjang berlangsungnya Piala Malaysia, boleh dikatakan bahagian pertahanan kami merupakan yang kedua terbaik dalam keseluruhan pasukan bertanding.
“Tetapi kini kita perlu bekerja keras bagi membaiki bahagian itu. Para pemain perlu fokus dalam menjalani latihan dan seperti dinyatakan tadi, saya akan gunakan rotan buluh untuk memperbaikinya,” katanya.