KUALA LUMPUR: Khalid Samad menolak khabar angin bertiup kencang yang menyatakan beliau akan melepaskan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) pada mesyuarat agung kali ke-33 yang diadakan di ibu negara, semalam.
“Semua orang berhak menamakan siapa sahaja untuk menggantikan presiden dan sekiranya proses penggantian perlu diambil kira, maka ia memerlukan satu mesyuarat agung yang khas dan pengundian oleh ahli-ahli gabungan, tetapi buat masa ini saya tidak mempunyai perancangan untuk bersara,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tersebut berakhir.
Jawapan itu sekali gus menepis khabar angin yang menyatakan Khalid bakal melepaskan kerusi No. 1 badan induk bola sepak Kuala Lumpur tersebut apabila nama bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah disebut-sebut bakal mengisi kekosongan jawatan berkenaan.
Pengalaman Ahmad Zahid yang pernah memimpin pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) meletakkan beliau sebagai calon hangat untuk menerajui KLFA.
Menurut sumber, Khalid yang telah menerajui persatuan sejak 2019 mahu berundur, sekali gus menyaksikan kerusi No. 1 itu kosong.
Bagaimanapun, Khalid sebaliknya komited dengan tanggungjawabnya itu dan menyatakan kesediaannya untuk bertemu dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim bagi membincangkan hala tuju dan kedudukan kewangan KLFA.
“Saya akan bertemu dengan Menyeri Wilayah Persekutuan untuk bincang dengan dia apa yang perlu untuk menjamin sokongan berterusan.
“Saya mengharapkan perjumpaan itu akan menghasilkan keputusan positif. Sebagai presiden saya mengarapkan dia mengikrtiraf pencapaian kita dan dengan usaha mengharumkan nama KL, maka seharusnya dia memberikan sokongan sepenuhnya.
“Kalau kita tidak mempamerkan prestasi baik itu lain cerita, seperti kita tersingkir ke Liga Perdana. Tapi agak pelik bila kita beraksi baik secara tiba-tiba KL City ini tidak diberikan sokongan seperti mana yang sepatutnya,” tegasnya.
Khalid memberitahu, memandangkan Menteri Wilayah Persekutuan telah bertukar, maka, KLFA perlu sekali lagi mengadakan perbicangan, sebelum sebarang kenyataan dibuat oleh badan induk tersebut.
“Saya harap dalam soal membangunkan sukan bola sepak ini, kita boleh ketepikan kepentingan politik dan kita utamakan pembangunan sukan di KL.
“Saya rasa akademi KLFA memiliki pelan pembangunan yang sangat bagus dan kita harap ia dapat dilaksanakan dengan sokongan penuh daripada pihak berwajib,” ujarnya.
Beliau berkata, pada ketika ini, apa yang lebih utama ialah pembangunan bola sepak Kuala Lumpur dan bukannya jawatan Presiden KLFA yang menjadi rebutan.
“Saya tidak mahu KLFA dijadikan tempat politik dan politiking untuk kesempatan individu ataupun kumpulan-kumpulan tertentu,” katanya.