PETALING JAYA: Bekas kapten Harimau Malaya, Shahrom Kalam berpendapat Safiq Rahim seharusnya dijadikan ikon bola sepak buat pemain muda generasi masa kini.
Pemain berusia 35 tahun itu, telah membuktikan kredibiliti dan keupayaannya mengemudi jentera tengah dalam dua aksi skuad kebangsaan dibawah kendalian Kim Pan Gon.
Jelasnya, biarpun ada beberapa kontroversi dicetuskan Safiq sebelum ini namun lebih banyak perkara positif ditunjukkan pemain tersebut sepanjang bergelar pemain bola sepak negara.
“Dia memang layak dijadikan ikon buat pemain muda generasi kini walaupun ada beberapa perkara terjadi sebelum ini (kontroversi melibatkan Safiq). Dia memang layak.
“Safiq telah membuktikan dia masih mampu mengawal jentera tengah negara dengan baik dalam dua perlawanan persahabatan sebelum ini dan menjadi ‘jeneral’ walaupun usianya sudah 35 tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Jelas bekas kapten Selangor itu lagi, kudratnya boleh ditagih selagi dia mampu mempamerkan prestasi terbaik di atas padang.
“Tidak boleh dinafikan dia menunjukkan kesungguhan dan keinginan tinggi seperti baharu sahaja menyarung jersi kebangsaan.
“Selagi tiada pengganti Safiq dan dia mampu bermain dengan baik dia atas padang, skuad negara memerlukannya untuk membantu pasukan negara.
“Ada beberapa pemain mampu menjadi pengganti Safiq seperti Nazmi Faiz, Daniel Amier (Norhisham) dan beberapa pemain lain, cuma mereka masih perlu berusaha lebih lagi, mungkin seeloknya mereka belajar dengan Safiq,” jelasnya.
Safiq telah telah mengumpul 75 penampilan bersama pasukan kebangsaan dan berjaya menjaringkan sebanyak 15 gol dan merupakan rekod yang cukup baik untuk seorang pemain tengah.
Setakat ini, Malaysia mencatat satu kemenangan dan satu kekalahan dalam jelajah perlawanan persahabatan di Singapura dimana Harimau Malaya menewaskan Filipina dengan keputusan 2-0 dan tewas kepada tuan rumah dengan keputusan 2-1.