Rusia akan henti serangan jika Ukraine penuhi syarat

Rusia akan henti serangan jika Ukraine penuhi syarat

PENDUDUK menyeberang sebuah jambatan yang musnah akibat serangan ketika meninggalkan bandar Irpin, barat laut Kyiv di Ukraine. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Rusia menegaskan pihaknya sedia menghentikan operasi ketenteraan di Ukraine ‘dalam masa terdekat’ sekiranya Kyiv memenuhi semua syarat yang dikenakan.

Menurut jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, Moscow menuntut Ukraine menghentikan tindakan ketenteraan, meminda Perlembagaan untuk mengekalkan neutraliti, mengakui Crimea sebagai wilayah Rusia dan mengiktiraf Donetsk dan Luhansk sebagai republik bebas.

Ia merupakan kenyataan paling jelas dari pihak Rusia setakat ini yang mahu mengenakan syarat ke atas Ukraine untuk menghentikan operasi ketenteraan yang memasuki hari ke-12.

Peskov menerusi satu temubual telefon bersama Reuters mendakwa Ukraine sedar mengenai syarat-syarat dikemukakan.

“Ukraine diberitahu bahawa semua ini boleh dihentikan dalam masa terdekat,” katanya.

Dilaporkan, setakat ini, tiada maklum balas dari Ukraine berhubung perkara ini.

Rusia melancarkan serangan ke atas Ukraine dari bahagian utara, timur dan selatan selain menceroboh beberapa bandar termasuk Kyiv, Kharkiv dan pelabuhan Mariupol.

Pencerobohan yang berlaku pada 24 Februari lalu mengakibatkan krisis pelarian paling buruk di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Tindakan pencerobohan itu juga mencetuskan kemarahan di seluruh dunia dan menyebabkan sekatan berat dikenakan ke atas Moscow.

Dalam pada itu, Peskov menegaskan Rusia tidak berhasrat untuk membuat sebarang tuntutan lanjut ke atas wilayah Ukraine.

Malah, beliau juga menolak dakwaan kononnya Rusia menuntut Kyiv diserahkan kepada mereka.

“Kami benar-benar sedang menamatkan proses demiliterisasi Ukraine. Kami akan menyelesaikannya namun apa penting ketika ini adalah Kyiv perlu menghentikan tindakan ketenteraannya.

“Mereka harus menghentikan tindakan ketenteraan mereka dan kemudian tiada sesiapa akan melakukan serangan balas,” katanya.

Berhubung isu neutraliti pula, Peskov menegaskan Ukraine harus melakukan pindaan Perlembagaan agar negara itu menolak untuk menyertai sebarang blok.

“Kami juga sudah memaklumkan mereka mengenai pengiktirafan Crimea sebagai wilayah Rusia serta Donetsk dan Lugansk sebagai negara bebas.   

“Itu sahaja dan semuanya akan berhenti dalam masa terdekat,” ujarnya.   

 

RUNDINGAN BAHARU

Tuntutan Rusia itu dibuat ketika delegasi dari Moscow dan Kyiv bertemu bagi pusingan ketiga rundingan kelmarin yang bertujuan menamatkan konflik kedua-dua negara.

“Kami bukan mahu merampas Lugansk dan Donetsk dari Ukraine tetapi dua wilayah itu tidak mahu menjadi sebahagian negara tersebut.

“Ini tidak bermakna dua wilayah ini harus dimusnahkan dalam serangan itu.

“Ukraine tetap akan menjadi negara bebas seperti dimahukan namun di bawah keadaan berkecuali,” jelas Peskov.

Tambah beliau, semua tuntutan itu sudah diserahkan semasa pusingan kedua rundingan antara delegasi Rusia dan Ukraine yang berlangsung pada minggu lalu.

Sementara itu, Penasihat presiden Kyiv, Mikhailo Podolyak menerusi satu ciapan memaklumkan pihaknya mencapai beberapa ‘hasil positif’ berkenaan logistik koridor kemanusiaan.

Katanya, rundingan intensif diteruskan mengenai beberapa isu utama bagi mendapatkan gencatan senjata dalam pertempuran di Ukraine.

Namun, ketua perunding Rusia, Vladimir Medinsky mendakwa tuntutan Moscow daripada rundingan itu ‘masih belum dipenuhi’. – REUTERS/AFP    

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya