IPOH: Gabungan Persatuan Penyokong Bolasepak Perak (TBG Mobs Perak Fans Club) mencadangkan rakyat Perak masing-masing menyumbang RM1 seorang bagi mengutip dana untuk membantu membiayai gaji pemain Perak FC.
Setiausahanya, Hakimi Helmi yakin jika setiap rakyat menderma RM1 seorang, kemelut kewangan dihadapi Perak FC dapat diselesaikan.
“Kta ada lebih sejuta rakyat. Jika seorang hulur RM1, kita akan ada RM1 juta lebih
“Dengan duit ini kita boleh bayar gaji pemain, pegawai pasukan dan persatuan yang ketika ini menghadapi kemelut tidak dibayar gaji antara dua hingga tujuh bulan.
“Bola sepak adalah permainan kegemaran utama rakyat Malaysia.
“Jadi apa salahnya rakyat berkorban demi masa depan bola sepak. Saya rayu kepada rakyat Perak supaya menghulurkan bantuan,” katanya semasa mengadakan majlis solidariti untuk mengutip dana daripada kelab penyokong di sini semalam.
Menurut Hakimi, TBG Mobs terpanggil melancarkan tabung selepas mengetahui keadaan pemain Perak terutama skuad Piala Presiden dan Belia tidak menerima gaji antara dua hingga tujuh.
Pada majlis itu sebanyak lebih RM1,000 berjaya dikumpulkan dan diagihkan kepada pemain.
“Sumbangan wang tunai tidak banyak tetapi barangan makanan akan diberikan kepada pemain,” katanya.