Presiden Peka didakwa duduki tanah kerajaan tanpa kebenaran - Utusan Malaysia

Presiden Peka didakwa duduki tanah kerajaan tanpa kebenaran

SHARIFFA SABRINA Syed Akil (tengah) keluar daripada mahkamah selepas didakwa atas tiga pertuduhan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran sah di Mahkamah Sesyen Raub di Raub, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Raub di sini hari ini atas tiga pertuduhan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran yang sah.

Shariffa Sabrina membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahya.

Menurut kertas pertuduhan pertama tertuduh yang juga Pengasas Rangkaian Tanah Aina Resort dan Restoran didakwa melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah kerajaan di Lot 26148, GM4135 Mukim Bentong iaitu kawasan Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant di Bentong pada pukul 2 petang 11 Jun 2021.

Pertuduhan kedua pula tertuduh didakwa melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah kerajaan di Lot 1053, PM0053 Mukim Ulu Dong iaitu kawasan Tanah Aina Fahad Glamping Resort di Raub, Pahang pada pukul 2 petang 10 Jun 2021.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah kerajaan di Lot 10061, GM1572 Mukim Tras iaitu kawasan yang ketika ini didiami Tanah Aina Farrah Soraya Exclusive Eco Resort di Raub, Pahang.

Bagi ketiga-tiga kesalahan tersebut, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara 1965 iaitu menduduki atau membina apa-apa bangunan di atas mana-mana tanah kerajaan, tanah rizab atau tanah perlombongan.

Jika bersalah, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun bagi setiap pertuduhan.

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Izzat Ikhwan manakala tertuduh diwakili lima peguam diketuai Mohd. Arif Mohan.

Terdahulu, Izzat meminta mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan bagi memastikan tertuduh hadir dalam perbicaraan seterusnya dan berdasarkan cubaan tertuduh yang didakwa cuba melengahkan kes sebelum ini.

Selain itu, beliau turut meminta mahkamah agar melarang tertuduh daripada mengeluarkan kenyataan dalam laman sosial dan kepada media massa tentang kes ini sehingga mengganggu perjalanan kes.

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon agar tiada wang jaminan ditetapkan dan jika ada jaminan, hendaklah pada kadar minimum berdasarkan kerjasama diberikan tertuduh serta sumbangan tertuduh dalam eko pelancongan negeri dan negara yang terkenal di seluruh dunia.  

Hakim kemudian menetapkan jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan meminta agar tertuduh tidak secara amnya tidak mengeluarkan kenyataan tentang kes ini di luar mahkamah.

Mahkamah menetapkan 25 April ini bagi pendengaran semula serta pengurusan kes dan tertuduh membayar wang jaminan. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya