LISBON: Portugal tidak rela menerima nasib sama seperti Itali menjelang perhitungan terakhir untuk layak ke Piala Dunia Qatar menentang Macedonia Utara, awal pagi esok.
Negara dari Balkan itu mengejutkan Itali di Palermo, Khamis lalu apabila menang 1-0 hasil jaringan Aleksandar Trajkovski pada tambahan masa, sekali gus menyaksikan juara Eropah itu gagal layak ke Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut.
Skuad Portugal diketuai Cristiano Ronaldo yang bergelar juara Eropah pada 2016, berdepan Macedonia Utara di Estadio do Dragao, Porto, dengan pemenang akan ke pusingan akhir Piala Dunia di Qatar.
“Pada ketika ini bola sepak sudah berbeza. Sesiapa sahaja boleh menewaskan sesiapa. Nama, nombor dan statistik tidak memberi makna.
“Kami perlu menunjukkan di padang bahawa kami ada lebih kualiti dan ada gaya permainan tersendiri,” kata pemain tengah veteran Portugal, Joao Moutinho ketika ditanya mengenai pertembungan dengan negara yang hanya dua juta penduduk dan kini berada di ranking ke-67 dunia.
Bagi Portugal, gagal layak ke Piala Dunia akan membuat mereka ‘malu’ besar, melihat kepada kualiti dimiliki barisan pemain bintang yang mereka ada.
Dalam pada itu, Bernardo Silva mengakui Portugal berdepan tekanan untuk mara ke Piala Dunia tetapi yakin skuadnya mampu mengatasi cabaran tersebut.
Skuad bimbingan Fernando Santos pastinya mahu memanfaatkan sebaiknya aksi di Stadium Dragao dalam misi juara Euro 2016 itu mara kali keenam berturut-turut ke Piala Dunia selepas gagal di tiga kejohanan antara 1990 dan 1998.
“Tanggungjawab berada di Piala Dunia bermakna tanpa mengira siapa lawan anda, tetap ada tekanan.
“Kami menerimanya dan ia sama, tidak kira anda menentang Itali, Macedonia Utara atau sesiapa sahaja dan kami sudah biasa dengan tekanan ketika bersama kelab.
“Sudah tentu mempunyai barisan pemain berpengalaman untuk aksi sangat penting ini boleh membantu. Tetapi Macedonia yang tidak mempunyai pengalaman seperti kami perlu diawasi. Mereka sangat bermotivasi selepas mengejutkan Itali,” ujar Silva.
Macedonia yang memburu tiket Piala Dunia pertama dalam sejarah 27 tahun mereka mara ke Euro 2020 tahun lalu dan Silva sedar ancaman skuad kendalian Blagoja Milevski tidak boleh dipandang ringan. – AGENSI