LONDON : Paul Pogba akan meninggalkan Manchester United sebaik sahaja kontraknya tamat pada Jun ini dedah jurulatih peribadi pemain tengah itu, Meddy.
Setakat ini, bintang Perancis itu masih belum bersetuju dengan perjanjian baharu bersama Red Devils dan boleh berpindah secara percuma selepas berakhir musim ini.
Jika perkara itu berlaku, ia akan menjadi kali kedua Pogba,29, meninggalkan United secara percuma selepas pemain itu pernah menyertai Juventus pada 2012 sebelum kembali semula empat tahun kemudian dengan yuran rekod dunia sebanyak 86 juta pound (RM499 juta) pada tahun 2016.
Meddy yang memiliki pelanggan dalam kalangan pemain elit lain yang mengikuti program latihan di pangkalannya, Dubai berkata Pogba masih berseronok di United terutama sejak perpindahan Cristiano Ronaldo ke England tahun lalu.
Namun, dia menganggap penghijrahan pemain itu boleh mendatangkan manfaat kepada kelab mahupun rakan sepasukannya yang lain.
“Mengenai Pogba, di penghujung Jun ini, dia tidak lagi menjadi pemain United. Saya rasa adalah wajar dia mencari tempat lain.
“Mungkin United juga mahu memperbaharui pasukan dan perkara yang paling masuk akal ialah berpisah. Masanya sudah tiba untuk berubah dan mencuba cabaran, emosi dan persekitaran baru buat Pogba mahupun United.
“Buat masa ini, saya rasa dia sedang berseronok. Mereka mempunyai pasukan yang bagus, khususnya sejak kembalinya Ronaldo tetapi masalah yang dihadapi adalah keputusan tidak memihak mereka,” jelasnya. – AGENSI