PETALING JAYA: Pindaan Perkara 119 Perlembagaan Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan semua kerabat diraja kekal berkecuali tanpa memihak kepada mana-mana parti politik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pindaan itu mengecualikan raja, pasangan dan waris mereka daripada didaftarkan secara automatik ke dalam senarai pemilih.
“Bagaimanapun, pilihan sama ada untuk mengundi atau tidak, tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dengan persetujuan Majlis Raja-Raja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 bagi memasukkan peruntukan baharu Perkara 119A yang mengecualikan Raja Pemerintah dan pasangan, Yang di-Pertua Negeri dan pasangan, bakal Raja, waris ganti dan waris lain raja dan pasangan dan mana-mana orang lain daripada didaftarkan sebagai pemilih secara automatik diluluskan di Dewan Negara, hari ini.
Ia mendapat undian majoriti 2/3 ahli Dewan Negara yang mana seramai 50 daripada 58 ahli Dewan Negara bersetuju terhadap pindaan tersebut.
Jelas Wan Junaidi, ia mengambil masa sehingga 10 Mac lalu untuk mendapatkan maklum balas daripada Majlis Raja-Raja sebelum rang undang-undang mengenai Perkara 119 dapat dibentangkan di Dewan Rakyat pada 21 Mac lalu.
Ujarnya, rang Undang-undang itu seterusnya akan dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenan dan diwartakan.
“Senarai lengkap pengecualian setiap negeri akan dibawa melalui suatu perintah yang diwartakan kemudian selepas mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja,” katanya. – UTUSAN