LONDON : Jamie Carragher percaya Liverpool mampu merampas gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) daripada Manchester City musim ini selepas pasukan itu menewaskan Arsenal 2-0 di Stadium Emirates, semalam.
The Reds kini hanya dibezakan satu mata dengan City hasil gol sumbangan Diogo Jota dan Roberto Firmino dalam perlawanan tersebut.
Sejak terikat 2-2 dengan Chelsea pada Januari lalu, pasukan kendalian Jurgen Klopp melakar sembilan kemenangan berturut-turut dalam saingan liga, sekali gus menyaksikan aksi blokbuster menentang City bulan depan berkemungkinan akan menjadi penentu kejuaraan musim ini.
Dengan mengambil kira perlawanan itu, Carragher percaya gelaran EPL musim ini masih terbuka buat Liverpool.
“Ia 50-50 kerana situasinya, perlawanan itu di Stadium Etihad. Ini adalah kali pertama saya rasakan Liverpool mampu memenangi liga sepanjang musim ini.
“Saya sentiasa katakan City (akan jadi juara) sejak awal musim ini. Perlawanan menentang Chelsea itu, seri 2-2, kemudian Liverpool ketinggalan 11 mata di belakang Manchester City tetapi Graeme (Souness) di studio berkata Liverpool masih dalam perebutan saya fikir mereka telah melakukannya dengan amat baik,” katanya.
Sementara itu, kemenangan ke atas Watford pada perlawanan liga seterusnya 2 April nanti akan membuka ruang untuk Liverpool meletakkan diri mereka lebih dekat dengan kejuaraan menjelang pertembungan penting menentang skuad kendalikan Pep Guardiola, City di Etihad pada 10 April.
“Kami mengharungi tempoh yang baik. Itu yang kami mahukan. Kami satu mata di belakang, tapi masih sama. Kami perlu menang perlawanan bola. Jurgen Klopp
“Lebih baik ketinggalan satu mata berbanding 14 mata. Tapi 10 tahun lalu, adakan anda fikir seseorang akan berkata anda patut berbangga menduduki tempat kedua? Mungkin tidak.
“Kami tahu kami mempunyai kumpulan yang istimewa di sini dan kami akan berusaha untuk hasil yang terbaik dalam setiap keadaan,” jelas Klopp. – AGENSI