PETALING JAYA: Biarpun tewas namun rata-rata penyokong Harimau Malaya memuji corak permainan yang diterapkan Kim Pan Gon dalam pasukan negara.
Tidak dinafikan masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki namun secara keseluruhan aksi dipamerkan skuad kebangsaan ketika tunduk 1-2 kepada Singapura di Stadium Nasional, kelmarin tidak membuat penyokong kecewa atau marah.
“Tiada masalah kalah kali ini cuba lagi pada masa depan, cari kelemahan yang ada dan perbaiki. Harap prestasi yang lebih cemerlang.
“Sebagai peminat dan penyokong pasukan negara, menang saya sorak, kalah tetap saya temani dan berdoa kemenangan yang akan datang,” tulis Cwing Wong di Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Dalam pada itu, Yassir Arafat turut meluahkan rasa puas hati dengan permainan ditampilkan skuad Harimau Malaya kali ini.
“Tahniah Singapura atas kemenangan…tahniah Malaysia atas penguasaan bola. Corak permainan menyerang Malaysia baik cuma tiada nasib.
“Cuma bila kena serang pertahanan agak kurang, mesti diperbaiki untuk perlawanan akan datang. Semoga terus berusaha dan perbaiki segala kelemahan, Insya-Allah berjaya,” katanya.
Bagi Muhammad Hafis, menjelaskan secara keseluruhan terdapat peningkatan ditunjukkan pemain kebangsaan dan mereka berhak mendapat pujian.
“Secara keseluruhan permainan malam ini (kelmarin) harusnya dipuji oleh semua peminat. Ada sedikit perubahan daripada corak permainan Harimau Malaya.
“Pemain-pemain pun nampak lebih garang di atas padang. Harap akan datang pasukan Harimau Malaya akan lebih mantap lagi dan tidak mustahil akan menjadi pasukan yang digeruni pada masa akan datang,” ujarnya.