KUALA TERENGGANU: Seorang penyelia kilang didenda RM16,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memuat naik gambar dan video lucah, lima tahun lalu.
Hakim Nooriah Osman menjatuhkan hukuman itu selepas Ahmad Tarmizi Mohd., 28, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Nooriah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Ahmad Tarmizi didakwa melakukan penghantaran komunikasi bersifat lucah melalui aplikasi Google Drive dengan niat menyakitkan hati orang lain.
Penyebaran bahan itu disedari pengadu di Kampung Padang Sena di sini pada 11 Mei 2017, kira-kira pukul 12 tengah malam.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Fazril Sani Mohamed Fadzil mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. –UTUSAN ONLINE